Malaysia Oversight

Kerajaan akan pinda beberapa fasal

By MkiniBM in August 28, 2025 – Reading time 2 minute
Kerajaan akan pinda beberapa fasal


PARLIMEN | akan memperkenalkan pindaan pada beberapa peruntukan di bawah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) untuk menangani kebimbangan mengenai komposisi demografi dan ambang persetujuan daripada pemilik hartanah.

Menteri Perumahan dan Tempatan Nga Kor Ming menyatakan perkara itu semasa bacaan kali kedua RUU tersebut di Dewan Rakyat petang ini.

Kata Nga, mengambil berat kebimbangan yang dibangkitkan pelbagai pihak berhubung komposisi penduduk di sesebuah kawasan yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar.

“Lanjutan daripada itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminda fasal ini (fasal 18) dengan sewajarnya bagi menjamin demografi di kawasan terlibat, tertakluk perincian yang akan dibincangkan bersama Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Dia yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan memberitahu, KPKT turut akan meminda fasal 19 RUU berkenaan terkait dengan nilai ambang persetujuan yang diperlukan daripada pemilik atau penghuni asal sebelum projek pembaharuan bandar dapat dijalankan.

Kata Nga, nilai ambang persetujuan itu akan dinaikkan sebagai menghormati pandangan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi yang diberikan dalam sesi perbincangan khas pada 21 Ogos lalu.

“Kesemua nilai ambang ini diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan dengan kenaikan nilai ini – daripada 75 peratus – masih dalam lingkungan yang wajar untuk memberi ruang pertimbangan dalam melaksanakan projek pembaharuan semula bandar secara berintegriti dan adil untuk pihak-pihak yang terlibat, di samping mengambil kira isu hak milik dalam kalangan 20 peratus penduduk,” katanya.

Kata Nga lagi aspek yang akan diambil kira ialah:

* Isu hak milik yang dicagar atau digadai bagi pembiayaan kewangan atau seumpamanya;
* Isu hak milik yang mengalami pinjaman tidak berbayar (non-performing loan) daripada institusi kewangan;
* Isu suratan hak milik yang belum atau tidak dikeluarkan kepada pembeli atau pemegang perjanjian jual beli; dan
* Isu pemilik asal tidak dapat dikesan.

Terdahulu kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan perbahasan RUU berkenaan ke persidangan Dewan Rakyat seterusnya iaitu pada Okt depan ekoran tentangan hebat daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan penyokong kerajaan.

Bagaimanapun belum dapat dipastikan sama ada penangguhan itu berpunca daripada bantahan terhadap RUU tersebut atau sebaliknya.

Sumber terdekat dengan Nga juga mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa RUU berkenaan tidak akan dibahaskan hari ini.

Sementara itu blok pembangkang meraikan penangguhan itu dengan – melalui ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari – menganggap ia sebagai suatu kemenangan.

“URA (PSB) tidak dibahas dan tidak diundi hari ini. Satu lagi kemenangan kepada rakyat! Teruskan menentang,” tulis Ahli Parlimen Pasir Mas itu di media sosial.

[Baca berita asal]



Source link