Sekumpulan ahli parlimen rentas parti mencadangkan supaya semua rang undang-undang (RUU) diwajibkan untuk diteliti terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) yang berkaitan sebelum bacaan kali kedua.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang mewakili kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah, berkata, Peraturan Mesyuarat 80B(3) sebenarnya sudah membolehkan perkara itu dilaksanakan.
Dia mengulas keputusan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, pagi tadi yang menjelaskan bahawa rang undang-undang tidak dirujuk secara automatik dan pengerusi PSSC perlu memulakan proses berkenaan melalui surat rasmi kepada kementerian yang membentangkan rang undang-undang tersebut.
“Kita perlu lagi satu pengalaman barulah untuk sampaikan dan pastikan supaya Peraturan Mesyuarat ini dapat dipatuhi. Maknanya kalau boleh dalam peruntukan ataupun penambahbaikan ini, kita minta secara otomatik,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
Ketika bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membangkitkan Peraturan Mesyuarat 80B(3)(a) bagi menyoal mengapa rang undang-undang itu tidak melalui PSSC.

Peraturan Mesyuarat itu menyatakan bahawa tugas jawatankuasa adalah meneliti rang undang-undang yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama, kecuali perkara yang dikaji oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Johari menjelaskan kepada Wan Fayhsal bahawa tidak wajib bagi rang undang-undang dibawa ke PSSC, melainkan kementerian yang bertanggungjawab merasakan perlu.
Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee turut membangkitkan isu sama, namun Johari menjawab bahawa pengerusi PSSC perlu menulis kepada kementerian untuk membolehkan rang undang-undang dirujuk kepada jawatankuasa.
Peraturan mesyuarat
Dalam sidang media berasingan di Parlimen, Ketua Whip Pembangkang, Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 80B(3)(a) mewajibkan PSSC meneliti sesuatu rang undang-undang.
Dia berkata berdasarkan teks Peraturan Mesyuarat tersebut yang menggunakan perkataan shall dalam versi Bahasa Inggeris dan hendaklah dalam versi Bahasa Melayu.

“Maknanya wajib menjadi kewajipan, kewajipan kepada jawatankuasa ini untuk meneliti segera RUU yang telah dibawa untuk bacaan kali pertama.
“Jadi persoalan kami Perikatan Nasional, kenapa RUU Perolehan Kerajaan 2025 yang dibawa untuk bacaan kali pertama pada hari Isnin yang lepas tidak dibawa dalam jawatankuasa yang berkaitan?” soalnya.
Sementara itu, Syed Ibrahim turut mencadangkan beberapa reformasi lain berkaitan PSSC, termasuk memberi kuasa kepada jawatankuasa tersebut untuk meneliti belanjawan tahunan negara.
Dia juga mencadangkan supaya bilangan PSSC ditambah agar setiap jawatankuasa boleh memantau satu kementerian, berbanding sistem sedia ada di mana beberapa kementerian digabungkan di bawah satu jawatankuasa.
‘Laporan jawatankuasa khas harus dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat serta direkodkan secara rasmi,” tambahnya.
Selain itu, dia turut meminta supaya Peraturan Mesyuarat dipinda bagi membolehkan PSSC diberikan kuasa untuk memanggil saksi, menentukan kehadiran, mengeluarkan sepina, memulakan prosiding kes menghina dewan, serta mengadakan siasatan awam atau hibrid.