Malaysia Oversight

PN gesa MP Sabah, Sarawak, Umno berkecuali dalam RUU PSB

By MkiniBM in August 28, 2025 – Reading time 2 minute
PN gesa MP Sabah, Sarawak, Umno berkecuali dalam RUU PSB


PARLIMEN l PN menggesa ahli parlimen daripada Sabah dan Sarawak supaya tidak mengambil bahagian dalam undian Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dijangka dibentangkan hari ini.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata, ini kerana RUU berkenaan terpakai untuk Semenanjung sahaja sebaliknya tidak terpakai bagi Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun katanya, seorang Ahli Parlimen Bersatu iaitu Ronald Kiandee (PN-Beluran) berhak mengundi kerana dia mempunyai rumah di Semenanjung.

“Ada rakan-rakan kami dari Sabah dan Sarawak kerana undang-undang ini tidak terpakai untuk Sabah dan Sarawak, tolong jangan mengambil bahagian, kita semua orang Malaysia untuk berlaku adil kepada semua.

“Anda bukan sebahagian daripada undang-undang itu, anda tidak sepatutnya terlibat. Tolong benarkan kami di Semenanjung fikirkan ini, dan kerana selalu kita fikirkan untuk Sabah dan Sarawak, saya mohon ahli-ahli parlimen Sabah dan Sarawak tentang isu ini kalau boleh berkecuali.

“Ronald Kiandee kata dia nak berkecuali, tapi oleh kerana dia ada rumah di Semenanjung, saya kata engkau mengundilah,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

a746125cf32064f097213adee668cf5e

Hamzah (PN-Larut) berkata demikian ketika mengulas mengenai hasrat untuk meneruskan perbentangan RUU PSB.

Dia turut menggesa ahli-ahli parlimen supaya turut tidak mengambil bahagian sekiranya undi belah-bahagian dilaksanakan

“Ahli-ahli parlimen yang selama ini memperjuangkan nasib B40, mereka yang tidak mampu memiliki rumah yang begitu mahal, kita mohon supaya kalau boleh, kalau tak mahu tolak pun, tolong berkecuali.

“Kalau mereka berkecuali saya akan maklumkan kepada rakyat semua bahawa ahli parlimen juga bersama dengan rakyat di bawah untuk menangguhkan RUU ini.

“Kerana bila kita bangkit untuk buat undi belah-bahagian nanti saya akan maklumkan berapa ahli Umno akan mengundi, tidak mengundi, kami di sini akan cuba untuk tidak mahu RUU dibentangkan sekali lagi,” tegasnya.

Sementara itu Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berada dalam keadaan bersedia untuk berbahas sekiranya RUU PSB dibentangkan pada hari ini.

Bagaimanapun katanya PN belum diminta senarai berapa ramai ahli parlimen yang diberi ruang untuk berbahas.

“Sehingga di saat ini setiausaha Dewan Rakyat belum minta daripada saya dan memberitahu berapa orang diperuntukkan kepada PN (untuk berbahas), tapi kita bersedia,” katanya.

Laporan oleh N Faizal Ghazali, Hariz Mohd, Alyaa Alhadjri



Source link