Lagi perubahan besar akan dilakukan oleh Amerika Syarikat ke pengeluaran visa untuk melawat negara mereka. Terkini, pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan memendekkan tempoh sah visa F untuk pelajar, visa J untuk pelawat program pertukaran budaya dan visa I untuk wartawan.
Di bawah cadangan baharu, visa F dan J akan hanya akan sah sehingga empat tahun sahaja. Sementara itu visa I yang sebelum ini sah sehingga 5 tahun akan dipendekkan ke 240 hari atau 90 hari sahaja untuk warga negara China.

Pentadbiran Trump berkata perubahan tempoh sah visa diperlukan untuk “memantau dan mengawasi” pemegang visa dengan lebih baik semasa mereka berada di Amerika Syarikat. Orang ramai diberikan masa 30 hari untuk memberikan maklum balas ke atas cadangan perubahan yang akan dilakukan.
Sebagai pengamal media, saya memegang visa ke Amerika Syarikat yang sah selama 5 tahun. Sebelum ini saya perlu pergi ke Amerika sehingga 5 kali setahun untuk keperluan tugasan. Proses permohonan menelan belanja yang tinggi. Jika tempoh sah visa dipendekkan ke 240 hari, ia akan menyukarkan saya untuk melakukan tugasan. Permohonan mengambil masa seminggu untuk diluluskan dengan slot temuduga pula perlu ditempah sebulan awal.
Besar kemungkinan era media Malaysia melakukan liputan di Amerika Syarikat selepas ini akan berakhir disebabkan oleh kerenah birokrasi.