Malaysia Oversight

Zaid sokong tapi mahu pemimpin S’wak juga disiasat

By MkiniBM in August 28, 2025 – Reading time 2 minute
Zaid sokong tapi mahu pemimpin S'wak juga disiasat


Bekas menteri, Zaid Ibrahim menyokong gesaan seorang senator di Sarawak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat bagaimana Petronas menggunakan lebih RM1 trilion keuntungan yang dijana daripada hasil minyak dan gas negeri itu.

Namun, bekas menteri undang-undang itu menegaskan, demi berlaku adil, RCI tersebut juga perlu meneliti kepimpinan Sarawak sendiri.

“Standard kebertanggungjawaban mesti sama. Jika Sarawak menuntut ketelusan daripada Petronas, standard yang sama perlu dikenakan kepada kepimpinan Sarawak.

“RCI bukan sahaja perlu menilai Petronas, tetapi juga bagaimana pemimpin Sarawak mengurus peruntukan persekutuan, hasil sumber asli dan syarikat milik negeri. ]

“Persoalan pokok yang mesti dijawab suruhanjaya ini mudah sahaja: ‘Mengapa, walaupun dengan kekayaan minyak bernilai trilion, rakyat Sarawak — terutamanya komuniti luar bandar dan pribumi — masih terpinggir?’” katanya di platform X.

Tegas Zaid, sejak berdekad-dekad, berbilion ringgit telah disalurkan ke Sarawak untuk pembinaan sekolah, jalan luar bandar dan klinik, tetapi audit mendedahkan wujudnya kebocoran yang ketara.

Merujuk kepada pentadbiran bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Taib Mahmud yang begitu lama, dia mendakwa banyak kontrak diberikan kepada kelompok kecil syarikat yang berkait rapat dengan ahli politik.

a71f2ab18c244e1c53c1facbb7d95f06

“Hasil balak dan kelapa sawit — industri ini menjana berbilion ringgit, namun pemilik tanah adat menyaksikan hutan mereka dirampas, manakala kadar kemiskinan kekal tinggi… Apa yang sudah berubah?

“Petros (Petroliam Sarawak Bhd) dan usaha tenaga baharu — syarikat minyak negeri Sarawak kini memainkan peranan utama dalam projek tenaga. Tetapi siapa yang menyemak Petros? Mengapa butiran kontraknya tidak telus? Siapa yang benar-benar mendapat manfaat daripada usaha tenaga baru ini — rakyat biasa Sarawak atau hanya segelintir elit politik dan perniagaan?” soalnya.

Dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 di Dewan Negara pada Selasa lalu, Senator Robert Lau berkata walaupun Petronas sering digambarkan sebagai “angsa emas” yang menyelamatkan negara ketika krisis ekonomi, hakikatnya “angsa sebenar” ialah Sarawak, manakala Petronas hanya “mengutip telurnya”.

Dia menyatakan rasa kesal kerana meskipun Sarawak sekian lama menyalurkan kekayaan sumbernya untuk pembangunan negara, ekonominya masih antara yang paling perlahan berkembang di Malaysia.

a43c833d024ab041b045fd7f6a65f56d

“Dari 1970 hingga 1985, eksport petroleum melonjak hampir 29% setiap tahun, sebahagian besarnya dari Sarawak, membantu negara apabila harga bijih timah dan getah jatuh.

“Namun, Sarawak hanya mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebanyak 0.9% setahun (dari 2016 hingga 2020),” katanya yang dipetik portal Dayak Daily.

Lau berkata RCI perlu meneliti pengurusan keuntungan Petronas serta mencadangkan reformasi untuk memperkukuh ketelusan, keadilan dan kebertanggungjawaban dalam perkongsian hasil dengan negeri-negeri pengeluar minyak.

Dia juga mempersoalkan mengapa gas asli dari Sarawak dieksport, sedangkan gas dari Terengganu disimpan untuk merancakkan pertumbuhan industri domestik.

Katanya, ketidakseimbangan itu telah menafikan peluang penting Sarawak untuk perindustrian, mengembangkan ekonomi, memperbaiki infrastruktur, serta meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

Lau turut membantah dakwaan bahawa tuntutan Sarawak untuk menguasai lebih banyak hak ke atas hasil minyak dan gasnya boleh melemahkan Petronas serta merugikan negara.



Source link