Korea Selatan Mengharamkan Telefon Pintar dan Peranti Digital Dalam Kelas
Effi Saharudin
Korea Selatan ialah negara yang paling celik digital di dunia dengan 98% penduduk memiliki telefon pintar dan 99% mempunyai akses internet. Sungguhpun begitu di dalam kelas, penggunaan telefon pintar dan sebarang peranti digital kini telah diharamkan selepas rang undang-undang mengenainya diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan Republik Korea semalam.
Pengharaman hanya pada sekolah rendah dan menengah dengan pelepasan diberikan untuk aktiviti pembelajaran di dalam kelas. RUU diluluskan bagi mengurangkan impak penggunaan media sosial yang mendatangkan impak ke atas pelajar sekolah.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Korea Selatan tahun lalu, 37% pelajar sekolah menengah mengatakan media sosial memberikan kesan terhadap kehidupan seharian manakala 22% lagi mengatakan mereka resah jika tidak memeriksa akaun media sosial di sekolah.
Walaupun RUU telah diluluskan, sebarang pelanggaran tidak akan dikenakan hukuman kerana ia terletak di tangan setiap sekolah. Sebelum ini beberapa sekolah telahpun mengharamkan penggunaan telefon dalam kelas tetapi RUU kini mengharamkannya di tahap nasional.
Tahun ini melihat semakin banyak usaha dilakukan bagi mengurangkan akses internet kepada pengguna bawah umur. Australia menjadi negara pertama mengharamkan akses laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube kepada individu bawah 16 tahun. Di Eropah pula sistem pengesahan umur perlu digunakan untuk mengakses perkhidmatan atas talian bagi menapis kandungan yang dilabel berbahaya.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.