Ketika kumpulan muzik lain giat menghasilkan karya dalam bahasa Melayu untuk menambat hati peminat tempatan, Midnight Fusic tampil dengan kecenderungan berbeza.
Sejak awal penubuhan pada 2013, kumpulan indie ini mengakui lebih selesa menulis karya-karya lagu dan menyanyi dalam bahasa Inggeris.
Bagi Midnight Fusic, pemilihan bahasa bukan soal menolak akar budaya, sebaliknya tentang keselesaan menyampaikan rasa dan ekspresi seni yang menjadi landasan perjuangan mereka.
Perkara itu dijelaskan oleh vokalis kumpulan itu, Arif, yang menganggap jalan itu menjadi pilihan mereka dalam mencipta kebebasan berkarya.
“Tidak dinafikan, sejak awal kerjaya seni kami bermula, memang banyak persoalan timbul. Ramai bertanya kenapa kami pilih untuk menulis lagu dalam bahasa Inggeris.
“Hakikatnya, kami lebih selesa menzahirkan perasaan mendalam melalui bahasa itu. Sebab, bagi kami, ada antara karya lagu yang tidak kena jika diubah liriknya atau ditulis dalam bahasa Melayu.
“Ini kerana ia memberi makna yang tidak sama seperti apa yang kami nak sampaikan dalam bahasa Inggeris. Begitu juga andai sebaliknya,”katanya.
Bagaimanapun, Arif menegaskan pilihan tersebut tidak bermakna Midnight Fusic sepakat mengenepikan bahasa Melayu.
“Bahasa Melayu ada roh dan maksudnya sendiri. Lirik dalam Inggeris takkan pernah sama bila diterjemahkan dalam Melayu.
“Sebab itu, saya katakan tadi, kami lebih terbuka menulis dalam bahasa Melayu, setelah banyak mendengar karya tempatan dan memahami keindahan kata-kata dalam bahasa kita sendiri,” jelasnya.
Meskipun lebih sinonim dengan lagu Inggeris, Midnight Fusic turut memiliki karya dalam bahasa ibunda.
Ia dibuktikan menerusi penghasilan lagu berjudul Sandiwara, hasil kolaborasi bersama rakan dari Indonesia, Pijar.
Terbaharu, Midnight Fusic muncul dengan lagu berbahasa Melayu kedua yang diberi judul Cahayaku.
“Kami ada juga usaha untuk hasilkan lagu dalam bahasa Melayu walaupun selesa menghasilkan lagu dalam bahasa Inggeris.
“Tetapi kami sedar pentingnya menghasilkan karya Melayu untuk peminat di sini. Malah, menulis dalam bahasa Melayu semakin lama semakin jadi satu cabaran menarik buat kami. Mungkin pada masa akan datang, kami akan cuba lagi buat untuk peminat,”ujarnya.
Ditanya sama ada pilihan mereka memfokus kepada karya lagu bahasa Inggeris dengan tujuan meneroka pasaran muzik antarabangsa, Arif berkata, ia tentunya menjadi satu daripada sasaran mereka.
“Ya, tidak dinafikan ini juga antara sasaran kami. Kalau boleh, selain dapat ‘menakluk’ hati peminat dan pendengar dalam negara, kami juga mahu muzik yang kami hasilkan dapat menambat hati pendengar luar negara.
“Boleh dikatakan, kami pun sudah berusaha ke arah itu. Apa sahaja peluang untuk meneroka pasaran luar kami akan buat. Midnight Fusic pernah muncul di Korea untuk acara Incheon Record Platform 2024 dan Newtro Rhythm Global Music Tour 2024.
“Tahun-tahun terdahulu kami pernah muncul di Indonesia,Singapura. Malah kami juga pernah menjadi pembuka acara Boys Like Girls Comes To Asia dan Lany Live In Kuala Lumpur.
“Bagi kami, itu antara kejayaan yang setakat ini telah kami raih dan diharapkan Midnight Fusic mampu pergi lebih jauh lagi dengan karya muzik kami,”katanya.
Di sebalik kejayaan, Midnight Fusic tidak menafikan bahawa perjalanan mereka penuh cabaran, terutama dari segi masa.
“Dulu masa remaja, kami selalu jamming. Sekarang dengan tanggungjawab masing-masing, cabaran utama ialah mencari masa untuk menulis muzik baru, berlatih dan bergerak sebagai band,” katanya.
KONSERT SOLO PERTAMA
Dalam pada itu, Midnight Fusic akhirnya mengotakan impian yang lama terpendam menerusi hasrat untuk mementaskan konsert solo pertama mereka tidak lama lagi.
Bagi empat anak muda yang bermula dengan sekadar melakukan aktiviti jamming di sekolah menengah, mempunyai sebuah konsert sendiri tentunya satu impian besar.
Ia bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi lambang perjalanan panjang yang menyaksikan jatuh bangun kumpulan ini.
“Kami sudah lama menantikan peluang ini. Ada tekanan, tetapi rasa teruja itu lebih besar daripada segalanya,” kata Arif, menyifatkan malam bersejarah itu sebagai hadiah untuk diri mereka dan juga peminat.
Menurut Arif lagi, konsert tersebut bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba.
Ini kerana, Midnight Fusic sudah merancang acara itu selama bertahun-tahun, namun pelbagai faktor menghalang ia direalisasikan lebih awal.
“Plan konsert ini memang dah lama ada. Tapi hanya pada awal tahun ini kami dapat lampu hijau daripada pihak penganjur.
“Apabila peluang itu tiba, kami tidak teragak-agak untuk menyahut cabaran. Kami membawakan senarai set, lagu dan visual baharu, keseluruhan pengalaman adalah sesuatu yang segar.
“Ia juga adalah lembaran baru untuk Midnight Fusic. Saya tidak sabar untuk bersama-sama dalam satu ruang dengan peminat kami di mana semua orang boleh berkumpul sebagai satu dan berkongsi perjalanan kami,” ujarnya lagi.
Konsert dengan judul Midnight Fusic Forevermore 2025 ini dibawakan oleh OYOLLO ASIA.
Konsert ini akan memenuhi ruangan Zepp Kuala Lumpur pada 14 September ini pada pukul 8.00 malam.
Tiket Midnight Fusic Forevermore 2025 boleh dibeli mulai 14 Julai 2025 pukul 3 petang di www.ticket2u.com.my pada harga Modus Operandi (Cat 4- Free Standing)- RM134, W.L.W.A (Cat 3- Free Standing)- RM174, Time Machine (Cat 2- Numbered seating)- RM224, Sandiwara (Cat 1- Free Standing) – RM224, Caramel Cream (VIP- free standing)- RM294 dan Cahayaku (VIP BOX- RM3844/ 10 pax per box).-UTUSAN