Malaysia Oversight

RUU Pekerja Gig langkah selaras semangat Madani

By MkiniBM in August 28, 2025 – Reading time 3 minute
RUU Pekerja Gig langkah selaras semangat Madani


ULASAN | Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di parlimen pada bulan ini disambut baik oleh pelbagai pihak. Kebetulan pula ia berlangsung menjelang sambutan Hari Merdeka dengan tema Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.

Justeru usaha itu menjadi simbol kesungguhan memperkasa rakyat dalam ekosistem pekerjaan moden.

RUU tersebut adalah bukti bahawa pekerja gig yang semakin ramai kini tidak lagi diabaikan, sebaliknya diiktiraf sebagai tenaga kerja penting dalam ekonomi baru negara.

Ekonomi gig di Malaysia berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu. Kehadiran pelbagai platform digital e-hailing, penghantaran makanan serta pelbagai perkhidmatan bebas lain membuka peluang rezeki kepada ratusan ribu rakyat.

Apatah lagi selepas Covid-19 banyak syarikat terpaksa menutup operasi atau mengecilkan saiz perniagaan.

Proses menyiapkan draf RUU Pekerja Gig 2025 pula bukanlah mudah kerana ia mengambil masa panjang bagi memastikan keseimbangan kepentingan pekerja, platform dan dapat dicapai.

Walaupun tidak sempurna, ia boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.

Hakikatnya, ekosistem ekonomi gig bergerak pantas selaras dengan arus Revolusi Industri 4.0, justeru undang-undang juga perlu fleksibel agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

Ada implikasi yang besar

Antara perkara utama yang dimaktubkan dalam RUU itu termasuk asas pembentukan peraturan pekerjaan gig, iaitu definisi pekerja gig yang lebih jelas, mekanisme aduan dan pertikaian, perlindungan sosial melalui Perkesi, serta isu gaji dan kontrak bertulis.

Elemen-elemen ini merupakan isu besar yang sering diperdebatkan dalam kalangan pekerja dan majikan platform. Dengan adanya peruntukan undang-undang khusus, pekerja gig kini mempunyai rujukan sah dan pelindung kukuh bagi hak mereka.

RUU itu turut membawa ciri baru yang memberi nafas segar. Antaranya penubuhan Tribunal Pekerja Gig yang membolehkan pertikaian diselesaikan lebih cepat dengan kos rendah berbanding mahkamah sivil, serta penubuhan majlis perundingan yang membuka ruang dialog telus antara , penyedia platform dan pekerja gig.

Hak asas pekerja seperti slip bayaran, ketelusan pendapatan, dan larangan penamatan tanpa sebab munasabah turut diberi penekanan khusus.

Implikasi positif daripada RUU itu sangat besar. Dari sudut sosioekonomi, pekerja gig akhirnya mendapat perlindungan yang wajar, justeru ia meningkatkan keyakinan masyarakat untuk terus berkecimpung dalam sektor tersebut dan menstabilkan pendapatan keluarga.

Dari sudut perundangan, tribunal dapat mengurangkan beban mahkamah sivil dan mewujudkan kepastian undang-undang.

Dari sudut dasar awam, Malaysia kini selari dengan negara lain yang telah lebih awal melaksanakan undang-undang khas bagi melindungi pekerja gig, malah seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 8) iaitu pekerjaan layak dan pertumbuhan ekonomi.

81b882b389df0472c701fcd48dd566a3

Namun begitu, terdapat juga suara kegusaran yang dibangkitkan oleh wakil-wakil persatuan gig berkaitan seksyen-seksyen tertentu dalam RUU tersebut.

Antaranya ialah kebimbangan berkaitan tafsiran “sebab munasabah” bagi penamatan kerja yang didakwa masih longgar dan berpotensi memihak kepada syarikat.

Begitu juga dengan tempoh pembayaran pendapatan dalam masa tujuh hari yang dianggap terlalu lama untuk pekerja yang bergantung kepada pendapatan harian, selain kebimbangan mengenai potongan gaji atas alasan “kesilapan syarikat” yang boleh dimanipulasi.

Mereka juga mempersoalkan seksyen yang membenarkan penyedia platform menggantung akaun seseorang pekerja sehingga 14 hari untuk tujuan siasatan.

Bagi mereka, tempoh tersebut terlalu lama dan boleh menyebabkan pekerja kehilangan sumber rezeki serta-merta walaupun belum dibuktikan bersalah.

Mereka mencadangkan tempoh siasatan dipendekkan, atau sekiranya perlu dilanjutkan, satu bayaran minimum harian wajar diberikan.

Justeru, selain memuji RUU itu dibentang sebagai langkah awal yang bersejarah, kegusaran yang dibangkitkan oleh wakil persatuan gig juga wajar diberi perhatian serius.

Undang-undang tidak boleh menjadi kosmetik semata-mata, tetapi harus benar-benar berfungsi untuk melindungi golongan pekerja gig yang rentan itu.

Justeru amatlah diharapkan agar sesi perbahasan RUU ini di parlimen nanti akan berlangsung dengan matang dan berfokus, agar hasilnya benar-benar memperkasakan undang-undang yang digubal serta memberi manfaat optimum kepada pekerja gig, penyedia platform dan negara secara keseluruhan.


NURHIDAYAH ABDULLAH ialah profesor madya di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link