GLOBAL | Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, Gaza, pada 25 Ogos lalu yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa, termasuk petugas perubatan dan wartawan, serta mencederakan ramai yang lain.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata Malaysia menegaskan semula bantahan keras terhadap tindakan menyasarkan hospital, wartawan serta petugas kemanusiaan.
Kuala Lumpur berpendapat, perbuatan itu merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan, termasuk Konvensyen Geneva Keempat dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang secara jelas melarang serangan ke atas fasiliti perubatan serta media.
Kenyataan itu menambah tindakan sedemikian adalah jenayah perang dan tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.
Serangan yang disengajakan ke atas wartawan, katanya, bukan sahaja jenayah keji terhadap nyawa yang tidak berdosa, malah merupakan serangan langsung terhadap kebebasan media.
“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak segera dan tegas untuk menghentikan kekejaman berterusan Israel serta memastikan rejim itu dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
“Malaysia juga menggesa semua pihak melipatgandakan usaha ke arah keamanan menyeluruh, adil dan berkekalan berasaskan hak asasi rakyat Palestin, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.
Menurut laporan media antarabangsa, mangsa yang terkorban termasuk empat petugas kesihatan serta lima wartawan – yang kemudian dikenal pasti sebagai Ahed Abu Aziz, Hussam al-Masri, Mariam Dagga, Mohammed Salama dan Moaz Abu Taha.
Mereka berkhidmat dengan agensi termasuk Middle East Eye, Associated Press, Al Jazeera dan Reuters.
– Bernama