Malaysia Oversight

Joachim iringi enam lagi wakil Malaysia ke pusingan kedua

By Utusan in August 27, 2025 – Reading time 2 minute
Joachim iringi enam lagi wakil Malaysia ke pusingan kedua


PETALING JAYA: Pemain muda negara, Joachim Chuah membuka aksinya dengan langkah kanan selepas membenam cabaran wakil Mesir, Yehia Essam pada pusingan pertama Trofi Tuanku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Anak jati kelahiran Shah Alam, itu melakar kemenangan mudah ke atas Yehia 11-3, 11-6, 11-2 di Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Hj Mohd Said.

Pada pusingan kedua, esok, Joachim, 20, berdepan laluan yang lebih getir apabila dijadual bertemu pemain veteran Pakistan, Nasir Iqbal yang diletakkan sebagai pilihan ketiga.

Turut mengikut jejak langkah Joachim ke pusingan seterusnya ialah Darren Pragasam yang tidak berdepan masalah menundukkan pemain Jepun, Naoki Hayashi 11-6, 11-1, 11-6.

Bagaimanapun, Darren, 26, agak kurang bernasib baik apabila dia perlu berdepan pilihan pertama, Henry Leung dari Hong Kong pada pusingan kedua.

Berdasarkan rekod pertemuan lalu, Darren tidak mempunyai pencapaian yang baik bertemu Henry yang pernah mencatat dua kemenangan ke atas pemain berasal dari Kuala Lumpur itu.

Dua lagi perlawanan yang membabitkan pertembungan sesama sendiri, berkesudahan Mohamad Syafiq Kamal menewaskan Muhammad Hafiz Abdul Harif 9-11, 11-6, 11-8, 11-5, manakala, Duncan Lee menyingkirkan M. Nickhileswar 11-8, 11-5, 11-3.

Esok, Syafiq, 29, perlu menggunakan pengalaman yang ada padanya untuk melayan pertembungan dengan wakil Mesir, Mohamed Sharaf jika berhajat meneruskan kemaraan ke suku akhir, sementara, Duncan bertemu Mohamed Nasser juga dari Mesir.

Sementara itu, dalam saingan wanita yang menyaksinya pertembungan dua pemain muda Malaysia berkesudahan dengan kemenangan Goh Zhi Xuan ke atas Anrie Goh 11-7, 11-4, 13-11.

IMG 20250827 1738461
Pemain muda negara, V. Hanessha (kiri) membalas pukulan Jemyca Aribado dari Filipina pada pusingan pertama Kejohanan Skuasy Piala Tuanku Mukhriz 2025 di Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Hj Mohd Said, Seremban, hari ini.-UTUSAN/ MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.

Pada pusingan kedua, Zhi Xuan yang berusia 20 tahun akan menghitung pertemuan dengan pilihan pertama, Nour Heikal dari Mesir.

Turut mara ke pusingan kedua, Zoe Foo yang mencipta kejutan ke atas wakil Australia, Sophie Fadaely 11-9, 11-6, 11-9, manakala, V. Haneesha menyingkirkan Jemyca Aribado dari Filipina 11-6, 8-11, 12-10, 11-5. – UTUSAN





Source link