Selepas bergelumang dalam dunia teknologi, saya sedari yang diperlukan pada sebuah komputer kerja ialah kuasa tinggi, RAM mencukupi, bateri tahan lama dan saiz yang sederhana. Tetapi kombinasi ini jarang sekali wujud pada komputer riba Windows kerana kekangan teknologi. Mahukan yang berkuasa? Perlu beli komputer riba gaming berat dan bateri bertahan hanya beberapa jam.

Mahukan komputer riba kompak? Kurang berkuasa pula dengan bateri yang juga tidak menakjubkan. Maka apabila diberikan Honor MagicBook X14 2025 untuk diulas, saya akhirnya menemukan sebuah komputer riba kerja yang tidak lagi perlu berkompromi.
Honor MagicBook Art 14 2025 | |||||
---|---|---|---|---|---|
Skrin | 14.6″ (3120×2080 pixel), 3:2. | OLED Touch, 120Hz, 1600 nit | |||
CPU | Intel Core Ultra 7 255H | ||||
GPU | Intel Arc 140T | ||||
RAM | 32 GB LPDDR5x | ||||
Storan Dalaman | 1TB SSD | ||||
Kamera Utama | 1080P | ||||
I/O | 1 x USB-C1: USB3.2 Gen2 | 1 x USB-C2: Thunderbolt 4 | 1 x USB-A (USB 3.2 Gen 1) | 1 x HDMI: HDMI 2.1-TMDS | 1 x 3.5mm Bicu audio |
Bateri | 60Wh | Pengecasan 65W USB-C | |||
SIM/Telefoni | Tiada | ||||
WiFi | 802.11a/b/g/n/ac/ax | ||||
Bicu Audio | Ya | ||||
Kalis Air | Tiada | ||||
Sistem Imbasan | Cap jari | ||||
Harga Jualan | RM5999 |
SKRIN
Skrin adalah sebesar 14.6″ OLED dengan resolusi 3120×2080 pixel dan bernisbah 3:2. Gambar yang dipaparkan amat menakjubkan kerana bayang skrin telefon mercu pada saiz lebih besar. Warna bukan sahaja nampak hidup tetapi memaparkan kandungan HDR10 yang nampak realistik. Saya jarang mengulas komputer riba tetapi saya rasakan skrin MagicBook Art 14 2025 ialah yang paling menakjubkan pernah digunakan.

Ia membuatkan skrin MacBook Air yang saya gunakan sekarang seperti sebuah produk kuno. Ini dibantu juga dengan sokongan sentuhan 10 jari dari nisbah skrin 3:2. Lebih banyak barisan dapat dipaparkan pada skrin menerusi nisbah ini yang menjadikannya serasi untuk mereka yang melakukan banyak kerja menaip (seperti saya).

Sudut pandangan adalah amat baik kerana ini ialah panel OLED dengan keterangan maksimum 1600 nit. Tak kiri dari atas, bawah atau sisi, kandungan yang dipaparkan skrin akan nampak sempurna. Jika ada kekurangan ialah skrin ini boleh disentuh dan memerangkap kotoran dengan amat mudah. Tidak teknologi lapisan oleophobic digunakan untuk mengelakkan cap jari melekap mudah.
REKABENTUK
Rekabentuk mengitar semula rekaan MagicBook Art 14 2024 dengan tiada perubahan ketara dilakukan. Ianya masih kompak, ringan, premium dan hadir dengan pelbagai jenis port yang tidak ditawarkan pada komputer riba dalam kelas yang sama. Berapa ringan? Hanya 1.03 kilogram yang langsung tidak dirasa apabila komputer riba disandang dalam beg dan dibawa berjalan. Dalam kedudukan tertutup ia hanya setebal 11.5mm yang menjadikannya nipis untuk sebuah komputer riba.

Butang kuasa berbentuk kotak diletakkan di bahagian atas, satu barisan dengan kekunci F. Terdapat pengimbas cap jari dengan Windows Hello untuk menyahkunci pantas. Pengimbas cap jari ini beroperasi dengan konsisten tanpa sebarang isu sepanjang tempoh ulasan.

Terdapat dua bukaan lohong penyedut udara untuk pengudaraan pada sisi kanan dan kirii belakang skrin dengan sebaris lubang udara diletakkan di bahagian bawah. Agak menarik melihat komputer riba senipis ini mepunyai sistem penyejukan komprehensif lengkap dengan kipas aktif. Pada sisi kiri terdapat dua USB-C (1x USB3.2 Gen2 dan 1x Thunderbolt 4) serta tempat simpanan kamera bermagnet.

Pada sebelah kanan terdapat port HDMI 2.1, bicu audio 3.5mm dan USB-A USB3.2 Gen2). Penawaran port adalah agak lengkap cuma tiada pembaca kad microSD dan slot kunci Kensington yang biasanya disertakan. Saya tidak akan mengeluh sangat kerana port yang ditawarkan Honor sebenarnya jauh lebih mewah berbanding 90% komputer riba nipis lain.

Terdapat enam speaker yang menembak ke atas diletakkan di bawah dua set kekisi di kiri dan kanan papan kekunci. Mirip dengan rekaan MacBook Air dan kualiti audio yang dilontar adalah amat baik. Jelas, lantang dan tidak terasa rata. Jika anda golongan minoriti yang masih menonton video di komputer riba, sistem audio MagicBook 14 Art adalah baik sekali.

PAPAN KEKUNCI
Papan kekunci adalah dari jenis chicklet yang diperbuat daripada bahan titanium tahan lasak. Sungguhpun begini menaip terasa selesa dengan ruang di antara kekunci adalah cukup baik. Terdapat sistem lampu terbina yang boleh diaktifkan ke mod automatik, sederhana terang atau maksimum.

Dalam sesi permainan video pula ia masih kekunci yang baik kerana mengesan kesemua tekanan jari yang kami berikan. Pengesanan juga memuaskan tanpa kami menyedari kawalan yang diberikan tidak dikesan atau mempunyai lengah masa yang boleh disedari. Terdapat butang untuk menyeru Copilot kerana komputer riba ini ialah sebuah Copilot+ PC dengan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) terbina.

Permukaan papan kekunci adalah tidak berkilat dengan tekstur sedikit kasar bagi memastikan mintak pada jari tidak mudah dipindahkan ke kekunci. Saya amat sukakan tekstur ini kerana memberikan tindak balas tampak pada jari apabila menaip. Kekunci juga tidak bising apabila digunakan yang adalah bonus bagi mereka yang tidak mahu mengganggu orang persekitaran semasa menaip.
PAD SESENTUH
Pad sesentuh tidak amatlah besar membuatkan ia sangat selesa digunakan untuk melakar kerja di dalam Photoshop. Sebagai pembenci membawa aksesori seperti tetikus, pad sesentuh MagicBook Art 14 ini amatlah berguna. Terdapat pelbagai sokongan gestur dan pad dapat mengesan setiap gerakan serta tekanan dengan cukup jitu. Sistem tindak balas haptiknya juga harus diberikan pujian kerana mirip seperti di MacBook.

PRESTASI Dan PENGGUNAAN
Di Malaysia MagicBook 14 ART hanya ditawarkan dengan cip Intel Core Ultra 7 255H yang dipadankan dengan memori sehingga 32GB RAM LPDDR5x 8400 MT/s dan storan 512GB M.2 PCIe 4.0. Kombinasi pemproses, RAM dan SSD yang saya rasakan cukup mantap. Hanya SSD sahaja boleh dinaik taraf dengan terdapat satu slot M.2 boleh diakses apabila panel bawah dibuka. RAM tidak boleh dinaiktaraf kerana ia terbina terus pada cip pemproses.

Storan yang digunakan mampu mencapai tahap membaca 6.911 GB/s dan menulis pula sehingga 6.148 GB/s yang pantas bagi sebuah komputer riba kerja. Maka tidak mengejutkan prestasi memasang dan membuka aplikasi pada komputer riba ini terasa pantas dan responsif.
Dalam ujian Fire Strike Extreme, Wild Life Extreme dan Time Spy Extreme, markah yang dicatatkan adalah setanding dengan purata komputer riba kerja di pasaran. Jadi tidak mengejutkan juga dalam ujian PCMark10, markah yang dicatatkan adalah jauh lebih baik daripada purata komputer riba kerja lain. Memori 32GB RAM adalah jauh lebih besar berbanding 8GB yang digunakan pada komputer riba kerja.

Ujian sintetik hanya memberikan angka yang abstrak tetapi bagaimana dalam penggunaan dunia sebenar? Tugas kertas kerja, menulis artikel, dokumen Excel, Words, Docs, Photoshop, PhotoScape dan CapCut kesemuanya berjalan lancar. Komputer mula menjadi suam dan kipas diaktifkan apabila melakukan suntingan video dan Photoshop yang kompleks. Dalam majoriti kerja seperti melayari web dan dokumen kerja, kupas penyejuk tidak diaktifkan.

MagicBook 14 Art 2025 masih boleh digunakan sebagai komputer riba gaming tetapi hanya untuk permainan yang sudah agak berusia atau yang tidak memerlukan tetapan tinggi. Permainan juga perlu dimainkan pada tetapan 1080P sederhana sahaja. Apabila permainan video dilancarkan, komputer memanas dan kipas penyejuk dapat didengari dengan lebih jelas.
Saya tidak boleh menyarankan anda menggunakan komputer nipis serta elegan ini untuk permainan seperti Cyberpunk 2077 atau Red Dead Redemption 2. GTA V yang sudah berusia sedekadpun tidak boleh dimainkan lancar pada tetapan tinggi. Letakkan palang harapan permainan yang ingin dimainkan lebih rendah.
BATERI
Bateri 60Wh diiklankan boleh bertahan selama 10 jam dengan sekali caj. Dalam penggunaan kerja harian di Amanz, waktu penggunaan sehingga 12 jam boleh dicapai dengan agak konsisten kerana saya mengurangkan keterangan dan jarang sekali memainkan audio. Pengecasan semula adalah menggunakan pengecas 65W dengan ia mengambil masa sekitar 100 minit yang masa yang biasa untuk sebuah komputer riba. Pengecasan ialah menerusi salah satu port USB-C di sisi kiri komputer.
KESIMPULAN
Honor MagicBook Art 14 2025 ialah sebuah komputer riba kerja Copilot+ PC yang sangat elegan pada rekabentuk, berprestasi dengan spesifikasi tinggi, dilengkapi kekunci yang sedap digunakan dan hadir dengan pilihan I/O yang cukup lengkap.

Kesemuanya dimuatkan dalam tubuh yang nipis serta berat hanya sedikit sahaja melebihi 1 kilogram. Memang patutlah ia mempunyai “Art” di dalam namanya kerana jurutera artisan di Honor berjaya menghasilkan komputer riba kerja yang seksi tanpa kompromi.
MagicBook Art 14 2025 dijual pada harga RM5999 dalam warna Mocha Brown dan Emerald Green.
PRO dan Kelebihan
- Prestasi yang baik tugasan kerja, video dan permainan ringan.
- Pilihan I/O yang mencukupi.
- Papan kekunci yang sedap untuk menaip dan gaming.
- Kemasan amat menarik dan premium.
- Hayat bateri yang memuaskan.
- Sistem audio lantang dan jelas.
KONTRA dan Kekurangan
- Kamera yang perlu ditanggalkan adalah sedikit leceh.
- Sedikit suam walaupun melakukan kerja-kerja ringan.
