Malaysia Oversight

Pekerja percubaan ada hak sama macam pekerja tetap

By MkiniBM in August 27, 2025 – Reading time 2 minute
Pekerja percubaan ada hak sama macam pekerja tetap


Mahkamah Rayuan hari ini menegaskan seorang pekerja dalam tempoh percubaan menikmati hak yang sama dengan pekerja tetap seperti yang diputuskan Mahkamah Perusahaan pada 10 Julai 2023.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata Mahkamah Perusahaan menggunakan budi bicaranya apabila memutuskan untuk menganugerahkan David Gerard Mok Chee Keong bayaran gaji tertunggak selama empat bulan dengan jumlah RM96,000.

Mahkamah turut mengarahkan syarikat DK-MY Properties Sdn Bhd membayar kos guaman sebanyak RM10,000 kepada Mok selepas menolak rayuan plaintif.

“Gaji tertunggak selama empat bulan yang diberikan kepada responden (Mok) bukanlah sesuatu yang tidak munasabah.

“Mahkamah Perusahaan juga mempunyai budi bicara tersendiri dalam menentukan jumlah bayaran gaji tertunggak kepada pekerja yang diberhentikan secara tidak adil,” katanya.

Selain Sequerah , dua lagi hakim yang bersidang bersama ialah Faizah Jamaluddin dan Meor Hashimi Abdul Rahim.

Mok memulakan pekerjaannya dengan syarikat tersebut sebagai ketua pegawai kewangan pada 12 Dis 2019 dan diletakkan di bawah tempoh percubaan selama enam bulan.

Pada 18 Mac 2020 pula dia menerima notis pemberhentian yang menyatakan bahawa hari terakhirnya bekerja ialah pada 16 Jun tahun tersebut. Tiada sebarang alasan diberikan.

Tidak berpuas hati, Mok mengemukakan aduan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan pada 11 Dis dan kesnya telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.

Mok kemudian dianugerahkan RM96,000 pada 10 Julai 2023 selepas Mahkamah Perusahaan mendapati dia mempunyai hak dan keistimewaan yang sama seperti pekerja tetap.

Mok juga didapati diberhentikan tanpa sebab atau alasan yang munasabah apabila syarikat terbabit gagal mengeluarkan sebarang amaran atau notis berkaitan prestasi kerjanya yang didakwa lemah.

Syarikat itu kemudian memfailkan semakan kehakiman di mahkamah tinggi bagi merayu keputusan Mahkamah Perusahaan berkenaan dengan hujah bahawa pemberhentian tersebut adalah sah di bawah syarat surat pelantikan.

Mereka juga berpendapat anugerah tersebut tidak munasabah memandangkan Mok memperoleh pekerjaan baru tidak lama selepas diberhentikan.

Mahkamah tinggi kemudian menolak semakan kehakiman tersebut pada 13 Dis tahun lalu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Perusahaan serta mendapati tiada sebarang unsur yang menyalahi undang-undang, tidak munasabah, atau ketidakteraturan prosedur dalam keputusan tersebut.

Peguam Dinesh Nandrajog dan Wong Shu Min mewakili Mok, manakala DK-MY Properties diwakili oleh Wong Huang Wee dan Shanne Kong.

[Baca berita asal]



Source link