Sambutan Hari Kebangsaan pada Ahad ini bakal melakar sejarah tersendiri apabila Panglima Tentera Udara Jeneral Muhamad Norazlan Aris akan memimpin sendiri segmen persembahan udara dengan menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM.
Perkongsian di laman Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini memaklumkan penglibatan Muhamad Norazlan dalam persembahan itu mencerminkan semangat kepimpinannya untuk berada di barisan hadapan sekali gus menjadi lambang kekuatan pasukan.
Menurut TUDM, sebanyak 30 aset udara bakal menggegarkan ruang udara Putrajaya pada tahun ini, terdiri daripada pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter dari semua agensi.
“Pagi tadi, Panglima Tentera Udara bersama juruterbang dan anak kapal TUDM memulakan persiapan dan latihan penerbangan bagi menjayakan segmen persembahan udara sempena sambutan tahun ini di Dataran Putrajaya.
“Aset-aset udara yang turut terlibat adalah daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” kata hantaran itu.

TUDM turut memaklumkan selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan 2025 iaitu Malaysia Madani: Rakyat Disantuni, semangat tersebut diterjemahkan melalui deruman enjin, kibaran Jalur Gemilang serta keberanian yang menjulang di angkasa raya oleh Angkatan Tentera Malaysia serta agensi keselamatan serta pertahanan lain.
“Pengorbanan tidak bertepi, nyawa sebagai taruhan, itulah ikrar yang dipegang oleh kami dalam memastikan keamanan dan kemerdekaan negara terus dipertahankan.
“Duty, Honour, Sacrifice,” katanya.
Hantaran itu juga menyeru rakyat Malaysia untuk turut memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini dan merakamkan detik bersejarah bersama keluarga.

– Bernama