Malaysia Oversight

Bekas CEO yayasan, pengerusi NGO direman 5 hari

By MkiniBM in August 27, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Bekas CEO sebuah yayasan milik institusi perbankan dan pengerusi sebuah NGO direman lima hari hingga 31 Ogos ini kerana dipercayai terlibat dalam kes tuntutan palsu berjumlah lebih RM2.1 juta.

Kenyataan SPRM hari ini memaklumkan kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu ditahan di ibu pejabat agensi antirasuah berkenaan sekitar 5 petang hingga 11.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek dipercayai telah bersubahat dengan memperaku dan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan peruntukan kepada sebuah yayasan berjumlah lebih RM2.1 juta.

“Tuntutan itu melibatkan bantuan di bawah tabung pendidikan sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan sebagaimana dalam permohonan,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, SPRM memaklumkan majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman selepas permohonan dibuat pagi tadi.

-Bernama



Source link