Malaysia Oversight

MP Tumpat mahu tulisan Jawi pada kad pengenalan

By MkiniBM in August 27, 2025 – Reading time 2 minute
MP Tumpat mahu tulisan Jawi pada kad pengenalan


PARLIMEN | Seorang ahli parlimen menyeru agar mengintergarasikan tulisan Jawi dalam kad pengenalan rakyat Malaysia sama ada dalam bentuk fizikal mahupun digital.

Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengemukakan empat alasan mengapa aspek tersebut perlu iaitu membabitkan legasi, sinergi, identiti dan sekuriti.

Dalam aspek legasi, katanya, tulisan Jawi adalah warisan kebangsaan yang termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan, dan perlu diangkat dalam dokumen identiti rasmi negara.

“Kita bukan bercakap soal sentimental semata-mata, tetapi soal dokumen asas negara. Dalam dokumen libat urus, merancang kad pengenalan struktur baru dengan ciri biometrik.

“Inilah masa paling tepat untuk mengintegrasikan Jawi ke dalam identiti pengenalan nasional, dalam kad pengenalan fizikal dan juga dalam bentuk digital— yang membawa makna sebenar nama seseorang dalam satu dokumen rasmi yang boleh dirujuk untuk nama versi Jawi, yang tidak dapat dipenuhi oleh aksara rumi semata-mata.

“Hari ini, jika bukan Malaysia yang mempertahankan Jawi ini, siapa lagi, negara mana lagi?” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Pindaan Akta Pendaftaran Negara 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU tersebut bertujuan memperkukuh pengiktirafan statutori kepada MyDigital ID sebagai satu pengenalan yang sah.

Ia juga bertujuan meminda seksyen 2 akta berkenaan bagi memasukkan takrif baru data biometrik, serta meminda subseksyen 6(2) bagi menambah baik kuasa menteri dalam membuat peraturan.

Mumtaz berkata, dalam aspek sinergi tulisan Jawi yang dikemaskini dan diintegrasi dalam kad pengenalan fizikal dan digital tentu memberi nilai tambah dalam hubungan antarabangsa, khususnya dengan negara-negara Arab yang menggunakan huruf hampir sama dalam pentadbiran rasmi.

Dakwanya Malaysia akan lebih disantuni dan dihormati dengan langkah tersebut kerana dianggap sebagai negara dengan identiti tersendiri.

Tambahan pula, katanya lagi, ketika ini wujud percanggahan ejaan nama dalam Jawi melibatkan sijil nikah lain, sijil sekolah menengah agama, dan apa yang ditulis sendiri.

“Jika ada rekod rasmi yang tunggal, kita akan capai sinergi dan uniformiti,” katanya.

Tambah Mumtaz, aspek identiti pula melibatkan isu perlembagaan iaitu rakyat diberi hak untuk mengisi borang rasmi dengan tulisan Jawi sama ada secara digital atau fizikal.

Katanya mesti ada rekod identiti bagaimana nama seseorang dalam tulisan Jawi sebagaimana Rumi yang disimpan dan diperakui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“JPN dengan mandat mendaftar kelahiran, kematian, dan merekod serta menyimpan identiti warganegara adalah penjaga tunggal yang wajar mengangkat Jawi dalam dokumen rasmi warganegara.

“Malah, saya sudah sahkan bahawa kad pengenalan Singapura juga membenarkan tulisan Jawi.

“Semakan atas talian menunjukkan, untuk nama seperti Batman Bin Superman, tulisan Jawi tetap dipaparkan dalam IC (kad pengenalan) Singapura.

“Malaysia wajar mengambil langkah lebih ke hadapan untuk memperkukuh identiti rasmi kita,” katanya.

Mengulas aspek terakhir iaitu sekuriti, Mumtaz mendakwa, tulisan Jawi bukan sahaja tentang soal warisan, malah juga isu keselamatan.

Katanya aksara Jawi lebih terhad justeru ia sukar dimanipulasi berbanding huruf Rumi.

“Dari sudut keselamatan lapisan pertama ( first-tier security), ini kelebihan yang kita tidak boleh abaikan,” kata Mumtaz lagi.


Laporan oleh N Faizal Ghazali, Zarrah Morden, Alyaa Alhadjri



Source link