Bekas Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, mendakwa haknya untuk mendapat perbicaraan adil telah terjejas semasa prosiding kes rogol di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2022.
Perkara itu didakwa berpunca daripada hakim perbicaraan ketika itu yang menggunakan Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah.
Peguam Yong, Salim Bashir, berhujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa dengan menggunakan seksyen tersebut, hak bekas wakil rakyat itu untuk menilai riak pengadu ketika soal balas telah dinafikan.
Seksyen 265A membenarkan saksi memberi keterangan secara tanpa nama jika mahkamah mendapati keselamatan mereka berisiko.
“Dapat melihat wajah saksi adalah faktor paling penting dalam soal balas. Pada pandangan saya, budi bicara ini sepatutnya digunakan secara amat berhati-hati dan dengan penuh cermat demi memastikan perbicaraan yang adil.
“(Apatah lagi) keputusan minoriti Mahkamah Rayuan (dalam rayuan Yong sebelum ini) menyatakan seorang tertuduh dalam perbicaraan jenayah berhak berdepan dengan pengadu, supaya dia boleh menyoal balas dan mencabar keterangan mereka,” kata Salim.

Peguam itu membuat hujah lisan di hadapan panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, bersama Nordin Hassan dan Hanipah Farikullah pagi tadi.
Rayuan Yong hari ini adalah peluang terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara.
Bagaimanapun, panel menangguhkan prosiding selepas mendengar hujah pasukan peguam Yong, dan menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh baharu mendengar hujah balas pihak pendakwaan.
Mahkamah Tinggi Ipoh pada 27 Julai 2022 mensabitkan Yong bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun serta dua sebatan selepas mendapati pembelaannya gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.
Dia dibenarkan menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan, dengan ikat jamin sebanyak RM30,000.
Pertuduhan terhadapnya – merogol pembantu rumah berusia 23 tahun dalam sebuah bilik di tingkat satu rumahnya pada 7 Julai 2019 – dikemukakan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan maksimum 20 tahun penjara dan sebatan.
Dua tahun kemudian, pada 1 Mac 2024, Yong gagal membatalkan sabitan selepas majoriti 2-1 panel Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah.
Namun, panel itu sebulat suara mengurangkan hukuman penjara 13 tahun kepada lapan tahun, mengekalkan dua sebatan serta penangguhan pelaksanaan hukuman.