Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak pihak yang menuduhnya sebagai ejen Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, dia berkata, dirinya hanya membawa suara akar umbi yang mahu parti itu kembali kepada landasan perjuangan asal apabila lantang bersuara.
“Kalau saya ejen PN, dia ejen siapa? Jadi tiada isu ejen PN, kalau ejen PN, baik saya duduk dengan PN sahaja.
“Tetapi hari ini kita bawa adalah suara dan hasrat akar umbi, walaupun pahit, kita kena terima sebab dalam perjuangan tidak semuanya manis, kadang-kadang pahit itu ubat dan ubat itulah boleh mengubati dan boleh menyembuhkan.
“Jadi kepada yang tuduh saya ejen PN, suruh ambil cermin dan tengok diri sendirilah,” katanya kepada media pada sebuah majlis di Jerteh, Besut, malam tadi.
Akmal berkata, dia sebenarnya adalah ejen ahli-ahli Umno yang mahu parti itu kekal relevan dan diterima semula oleh rakyat,.
Menurutnya, walaupun diminta ‘slowdown’ dia tetap meneruskan perjuangan yang dipegang Pemuda Umno sejak tahun 1949.
Sebelum ini beberapa sayap Pemuda DAP negeri mendesak kepimpanan parti itu supaya memutuskan hubungan politik dengan Akmal yang didakwa menjadi ejen PN dalam kerajaan perpaduan.
Antaranya Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, Umno menginsafi kedudukannya yang hanya ada 26 kerusi Parlimen.
“Kita perlu menginsafi dan seharusnya mengambil iktibar di sebalik makna yang diberikan oleh rakyat kepada Umno setelah hanya tinggal 26 kerusi.
“Rakyat mahukan satu gaya politik yang segar. Rakyat mahukan gaya politik yang jauh lebih matang, walaupun kita bersama dengan siapa, tetapi kita tidak pernah langsung yang mana mereka mahukan Umno menjadi payung orang Melayu,” katanya lagi.
Dalam program malam semalam, Akmal bersama Pemuda Umno Terengganu dan Kelantan melancarkan gelombang baru bagi menawan semula negeri-negeri berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.