JBL memperkenalkan dua fon telinga wayar baharu dengan rekaan terbuka iaitu JBL Sense Pro dan JBL Soundgear Clip. JBL Sense Pro hadir dengan rekaan cangkuk yang boleh dicangkuk di telinga, manakala JBL Soundgear Clip pula menampilkan rekaan menyerupai subang.

JBL Sense Pro menggunakan teknologi OpenSound bersama pemandu audio karbon seakan berlian bersaiz 16mm untuk menghasilkan audio berkualiti tinggi. Ia dilengkapi Adaptive Bass Boost dan Spatial Sound untuk pengalaman bunyi yang lebih imersif.
Fon telinga ini dilengkapi empat mikrofon dengan teknologi AI dan sensor suara untuk memastikan panggilan kekal jelas dalam suasana bising. Cangkuk telinga aloi aluminium yang digunakan boleh dilaras untuk keselesaan. JBL Sense Pro turut menawarkan penarafan IP54 serta bateri yang mampu bertahan sehingga 8 jam atau 38 jam dengan bantuan pod pengecas.

JBL Soundgear Clip pula hadir dengan rekaan terbuka menyerupai subang dan menggunakan teknologi OpenSound serta SonicArc untuk bass lebih baik. Diperbuat daripada bahan lembut dan ringan, ia sesuai untuk pemakaian sepanjang hari.
Fon telinga ini dilengkapi pemandu audio 11mm, dua mikrofon beamforming dan teknologi AI untuk panggilan yang jelas. Ia menyokong Bluetooth Multipoint dan Google Fast Pair serta dilengkapi penarafan IP54. Hayat baterinya mencecah sehingga 32 jam dengan bantuan pod pengecas.