Malaysia Oversight

PNB Merdeka Ventures rancang terbit sukuk RM6bilion

By Utusan in August 27, 2025 – Reading time 2 minute
PNB Merdeka Ventures rancang terbit sukuk RM6bilion


PETALING JAYA:PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), merancang untuk menerbitkan Program Sukuk Wakalah Merdeka bernilai sehingga RM6 bilion bagi membiayai pembangunan berterusan presint ikonik Merdeka 118.

PNBMV dalam kenyataan berkata, hasil terbitan sukuk itu akan digunakan untuk membiayai semula sukuk sedia ada selain mengumpul dana baharu bagi menyokong pembangunan projek berkenaan.

Selaras dengan komitmen terhadap pembangunan lestari, syarikat turut mengemas kini Rangka Kerja Kewangan Lestari 2025 yang memperluas skop projek layak serta membolehkan penerbitan lebih banyak instrumen kewangan mampan pada masa hadapan.

Rangka kerja itu juga menyokong aspirasi PNB mencapai sasaran Perusahaan Sifar Bersih menjelang 2025 dan Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Program Sukuk Wakalah Merdeka itu diatur bersama CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd, dengan MARC Ratings Bhd memberikan penarafan awal AAA/S berprospek stabil.

Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, langkah itu bertujuan mengoptimumkan struktur dan kos pembiayaan projek Merdeka 118.

“Kami yakin program ini akan menyokong kemajuan berterusan Merdeka 118 sebagai pembangunan yang menjadi lambang kebanggaan negara serta pertumbuhan mampan,” katanya.

Presint Merdeka 118, yang berteraskan Menara Merdeka 118, terus mengukuhkan kedudukan sebagai salah satu lokasi perniagaan paling berprestij di Kuala Lumpur, dengan kadar penghunian pejabat kini mencecah 70 peratus.

Selain segmen pejabat, 118 Mall setinggi tujuh tingkat dijangka menjadi hab gaya hidup utama dengan gabungan runcit, makanan dan hiburan, dengan hampir 70 peratus ruang telah dipajak sebelum pembukaannya. -UTUSAN





Source link