PETALING JAYA: Rapid KL hari ini mengumumkan promosi baharu Pas MyTourist dengan harga lebih rendah, menawarkan perjalanan tanpa had di semua rangkaian perkhidmatan Rapid KL termasuk tren, BRT Laluan Sunway, bas Rapid KL, bas pengantara MRT dan Rapid KL On-Demand di Lembah Klang.
Selain perjalanan tanpa had, pemegang Pas MyTourist turut menerima manfaat tambahan selama tujuh (7) hari berturut-turut daripada lebih 40 rakan strategik, termasuk potongan harga di pusat-pusat tarikan pelancong, pusat beli-belah, restoran dan kafe, dengan jumlah penjimatan bernilai sehingga RM800.
Promosi ini dilaksanakan sempena Bulan Kebangsaan, sebagai sebahagian daripada kempen “Rapid KL Denyut Nadi Merdeka”.
“Kami memahami bahawa pelanggan hari ini mahukan lebih daripada sekadar perjalanan dari titik A ke titik B. Pas MyTourist menawarkan nilai berganda, dari perjalanan tanpa had pada harga mampu milik kepada akses kepada pelbagai tawaran eksklusif.
“Kami yakin promosi ini akan menggalakkan lebih ramai untuk menggunakan pengangkutan awam sambil meneroka destinasi menarik di kota raya,” kata Ashok Panchalingam, Pemangku Ketua, Pengurusan Pengalaman Pihak Berkepentingan & Pemasaran Kumpulan, Prasarana Malaysia Berhad.
Inisiatif ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menyemarakkan semangat patriotisme dengan cara yang praktikal dan menyeronokkan, dengan menggunakan pengangkutan awam untuk meneroka Lembah Klang dengan mudah, sambil menikmati penjimatan hebat dan tawaran eksklusif daripada rakan strategik Pas MyTourist.
Dengan cuti panjang sempena Hari Malaysia, pengguna boleh menjadikan Pas MyTourist sebagai cara terbaik untuk bergerak dan merasai denyut nadi kota raya.
Pas MyTourist boleh dibeli di kaunter Khidmat Pelanggan Rapid KL, aplikasi MyRapid PULSE atau secara dalam talian di MyRapid Shop (shop.myrapid.com.my).
Untuk maklumat lanjut, layari www.myrapid.com.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03-7885 2585.