SELAYANG: Seorang peniaga bersama lima pekerjanya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan penyelewengan minyak masak bersubsidi berjumlah 11,883 kilogram, minggu lalu.
Tertuduh, Wong Shu Chi, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.
Pertuduhan bagi lima lagi tertuduh warga Myanmar iaitu Aye Min Thu, Aung Ko Ko, Htet Aung, Htet Naung dan Than Soe Aung atas kesalahan sama tidak dibacakan kerana memerlukan kehadiran jurubahasa.
Kesemua mereka secara bersama-sama didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak masak sebanyak 11,883 kilogram dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.
Kesalahan itu di bawah Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melanggar Peraturan 3(1) peraturan yang sama iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Industri Nautical, Rawang kira-kira pukul 11.30 pagi pada 20 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen 22(1) akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Hafizi Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada Shu Chi dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat KPDN Putrajaya, sementara lima warga Myanmar tidak diberikan jaminan dan ditahan sementara di Penjara Satelit Kuala Langat.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 September depan bagi lantikan jurubahasa membabitkan prosiding pertuduhan terhadap lima warga Myanmar. – UTUSAN