MELAKA: Seorang pelajar lelaki bidang perubatan di sebuah universiti swasta di Bukit Baru dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit mengesahkan pelajar tahun akhir berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan sedang dirawat di Hospital Melaka.
Beliau menyatakan kejadian berlaku pada pukul 10.42 malam semalam apabila mangsa dilaporkan keluar dari bilik mandi sebelum terjatuh dari apartmen yang disewanya bersama lima rakan seuniversiti.
Mangsa terselamat selepas terjatuh di beranda tingkat lima apartmen tersebut tetapi mengalami kecederaan serius sebelum dikejarkan ke hospital.
Siasatan awal mendapati kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kes buli dan mangsa dikenal pasti sebagai seorang yang baik serta sering membantu rakan-rakannya.
Mangsa berjaya dibawa turun oleh anggota bomba sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. – Bernama