Dengan bantahan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) semakin meningkat, 21 Adun Perikatan Nasional (PN) dari Selangor turut berkongsi sentimen sama dan menuntut ia dibatalkan.
Adun berkenaan turut mencabar Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, kerajaan negeri dan badan berkanun seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menyatakan pendirian mereka berhubung perkara itu.
“Sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan perumahan rakyat, mereka tidak boleh berdiam diri.
“Jika benar berjuang untuk kepentingan rakyat, khususnya pemilik rumah dan ekuiti bumiputera di bandar, maka kerajaan negeri Selangor wajib menolak sekeras-kerasnya undang-undang yang jelas propemaju ini.
“Sikap berdiam diri hanya menunjukkan kerajaan negeri bersekongkol dengan Kerajaan Persekutuan dalam menggadaikan hak rakyat Selangor,” kata Adun berkenaan dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Antara yang menandatangani kenyataan itu ialah Azmin Ali (Hulu Kelang), Hilman Idham (Gombak Setia), Razali Saari (Sungai Panjang) dan Dr Afif Bahardin (Taman Medan).
Selain daripada pemimpin pembangkang, URA juga dikritik oleh beberapa ahli parlimen kerajaan dan gerakan masyarakat sivil.
Awal hari ini, kumpulan pro-PN dan persatuan penduduk Wilayah Persekutuan hadir di depan parlimen untuk menyerahkan memorandum membantah URA.
Ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, termasuk Hassan Karim (Pakatan Harapan-Pasir Gudang), Wong Chen (PH-Subang), Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai), Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), dan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), menerima memorandum daripada kumpulan itu.
Menteri besar empat negeri pimpinan PN – Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis – turut membantah URA hari ini melalui satu kenyataan bersama.
PN dan penyokong mereka berhujah bahawa URA berisiko mengganggu keseimbangan kaum di bandar-bandar hingga merugikan orang Melayu.
Mereka juga mendakwa perundangan yang dicadangkan tidak mempunyai mekanisme perlindungan dan pampasan yang jelas.
Ambang persetujuan untuk projek pembaharuan bandar di bawah rang undang-undang yang dicadangkan ialah 80 peratus untuk bangunan berumur kurang daripada 30 tahun, dan 75 peratus untuk bangunan berusia lebih 30 tahun.
Sementara itu, ahli parlimen PN Selangor mendakwa rang undang-undang itu memberikan terlalu banyak kuasa kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan untuk mengisytiharkan mana-mana tempat sebagai “kawasan pembaharuan bandar.”
Kuasa itu, tambah mereka, bukan sahaja melanggar hak rakyat untuk memiliki harta seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga menceroboh kuasa kerajaan negeri dan tempatan.
“Kami juga menolak keras cadangan menurunkan ambang persetujuan kepada hanya 75 hingga 80 peratus dan had umur bangunan kepada 30 tahun sahaja untuk tujuan pembangunan semula.
“Mekanisme ini berisiko memaksa pemilik minoriti melepaskan rumah mereka walaupun enggan. Pengamal undang-undang telah
mengingatkan bahawa ambang rendah sebegini hanya akan melahirkan ‘consent manufactured’ – persetujuan yang dipaksa, bukan yang sebenar,” tambah mereka.
Bagi tempoh masa pembangunan semula, mereka menegaskan bahawa Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan telah berhujah bahawa jangka hayat bangunan boleh menjangkau dari 70 hingga 80 tahun, tidak seperti 30 tahun yang disebut dalam URA.
“Jadi, idea untuk memendekkan tempoh masa adalah tidak berasas,” kata mereka.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan pertamanya di Dewan Rakyat pada 21 Ogos.
Bacaan kedua dan ketiga dijadualkan esok.