PN Pahang mendesak semua ahli parlimen dari negeri itu menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dijadualkan dibaca untuk kali kedua di Dewan Rakyat esok.
Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, 17 Adun PN Pahang mendakwa RUU itu mengancam hak pemilik rumah dan tidak menguntungkan rakyat.
Cadangan akta berkenaan juga, dakwa mereka, mengandungi pelbagai kelemahan serius yang boleh membawa implikasi negatif kepada penduduk, terutamanya yang berpendapatan rendah.
“Kami bersetuju secara bersama dalam menyatakan kebimbangan utama rakyat ketika ini, termasuklah hak pemilik asal yang terjejas selain potensi ‘pencerobohan’ autonomi pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Jika RUU tersebut dibentangkan dan seterusnya diluluskan, kami bimbang ia akan membenarkan penjualan hartanah secara en-bloc atau dengan persetujuan 75 hingga 80 peratus pemilik sahaja, berbanding 100 peratus dalam peruntukan undang-undang sekarang.
“Akhirnya, sebilangan pemilik boleh dipaksa keluar dari rumah mereka walaupun kediaman itu masih selamat untuk diduduki,” dakwa Adun pembangkang terbabit.
Akta PSB dibawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertujuan memberi kuasa kepada jawatankuasa eksekutif persekutuan dan negeri membangunkan semula serta memperbaharui bangunan atau tanah yang terbengkalai tanpa memerlukan persetujuan 100 peratus pemiliknya.
Harga bakal melambung
Ketika ini Seksyen 57 Akta Hakmilik Strata 1985 mensyaratkan “resolusi sebulat suara” daripada pemilik diperlukan sebelum badan pengurusan boleh mengambil alih sebagai pemegang amanah untuk melaksanakan kerja-kerja pembaharuan semula bandar.
Jabatan Kerja Raya menyarankan bahawa setiap bangunan hanya selamat untuk dihuni untuk tempoh 70 hingga 80 tahun.
Dia juga menyatakan bahawa URA akan membuka banyak peluang pelaburan, mengubah landskap bandar dan menjana ratusan bilion ringgit dalam nilai pembangunan kasar.
Menurut PN Pahang, mereka bimbang mengenai kawalan harga unit kediaman gantian jika RUU berkenaan diluluskan.
Kata mereka, pindaan terhadap RUU PSB hanya menjanjikan pampasan “tidak kurang baik” dan merupakan frasa yang “terlalu subjektif dan terbuka” kepada pelbagai tafsiran.
“Perlu ada peruntukan jelas bagi menjamin pemilik asal mendapat unit gantian tanpa bayaran tambahan atau dengan bayaran tambahan minimum,” tambah kenyataan berkenaan.

Gabungan Adun dari PAS dan Bersatu itu juga mendakwa RUU berkenaan tidak mempunyai peruntukan khusus untuk perumahan mampu milik, sekali gus membuka ruang kepada pemaju membina unit mewah tanpa mengutamakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Ini bermakna, dakwa Adun pembangkang itu lagi, ia berisiko mencetuskan kesan gentrifikasi apabila kawasan didiami golongan berpendapatan rendah akan dibangunkan semula menjadi kawasan mewah.
Kesannya, kata mereka, harga rumah dan sewa akan melambung tinggi sehingga mungkin memaksa penduduk asal berpindah.
“Tiada jaminan jelas bahawa pegangan ekuiti bumiputera atau tanah rizab akan dilindungi. Ini bercanggah dengan semangat dasar yang mahu meningkatkan pemilikan bumiputera,” kata Adun terbabit.
Kenyataan media sama turut mengkritik kekurangan mekanisme pembabitan komuniti dan kewajiban sesi pendengaran awam untuk mendapatkan pandangan pemilik dan penyewa.
Kelemahan itu, dakwa mereka, boleh membuka ruang kepada manipulasi pihak berkepentingan.
Sementara itu Timbalan Pengerusi Bersatu Pahang, Jasri Jamaludin, mendakwa secara keseluruhannya RUU PSB adalah akta yang lebih menguntungkan pemaju dan kroni politik, dan bukannya rakyat biasa.
“Kami menyeru agar RUU ini ditolak sehingga semua kebimbangan ini dimuktamadkan dengan jelas dan nyata,” katanya.