Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan usahawan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bersama plaintif lain bagi mendapatkan injunksi sementara terhadap portal berita MalaysiaNow, sementara menunggu pendengaran penuh pada Khamis ini.
“Sementara menunggu keputusan pendengaran, plaintif membuat permohonan lisan untuk injunksi sementara.
“Namun, mahkamah menolak permohonan lisan itu,” kata peguam Rajesh Nagarajan dalam kenyataan hari ini.
Rajesh bersama Amanda Sonia Mathew mewakili portal berita berkenaan dan editornya, Muhammad Abd Ar-Rahman Koya.

Pada 21 Ogos lalu, Farhash bersama dua individu lain memfailkan saman fitnah terhadap MalaysiaNow dan Rahman, serta menuntut ganti rugi RM10 juta berhubung artikel berkaitan skandal perlombongan di Sabah.
Dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini menunjukkan saman itu difailkan oleh firma guaman Messrs Ahmad Deniel, Ruben & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Julai.
Farhash bersama Bumi Suria Sdn Bhd dan Mohd Aminudin Mustapha menamakan MNow Sdn Bhd serta Rahman sebagai defendan. Farhash dan Aminudin merupakan pengarah syarikat Bumi Suria.
Selain RM10 juta, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk (aggravated), teladan (exemplary), dan punitif. Mereka juga memohon perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf penuh dan tanpa syarat di portal berkenaan, faedah lima peratus setahun, serta remedi lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mereka juga menuntut defendan memadam artikel-artikel berkenaan daripada laman MalaysiaNow, selain memfailkan permohonan injunksi segera bagi menghalang portal itu daripada mengeluarkan semula artikel yang didakwa berunsur fitnah.
Dalam afidavit sokongan, plaintif mendakwa artikel berkenaan mencemar reputasi bekas setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu sebagai tokoh awam terkenal dan dihormati, serta menjejaskan kerjaya dan hubungan perniagaan Aminudin.
Artikel itu, kata mereka, menggambarkan seolah-olah mereka menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan lesen perlombongan secara haram.
Sementara itu, Rajesh ketika dihubungi berkata beliau memberitahu mahkamah injunksi sementara tidak perlu memandangkan artikel terakhir MalaysiaNow mengenai perkara itu diterbitkan pada 24 Julai lalu.
“Saya juga beritahu mahkamah bahawa kebebasan bersuara adalah hak perlembagaan, dan hakim bersetuju,” katanya kepada Malaysiakini.