Malaysia Oversight

Taufan Kajiki ragut tiga nyawa di Vietnam

By Utusan in August 26, 2025 – Reading time 2 minute
Taufan Kajiki ragut tiga nyawa di Vietnam


VINH: Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan 13 lagi cedera apabila Taufan Kajiki melanda Vietnam, mengakibatkan ribuan rumah rosak, bekalan elektrik terputus dan banjir besar yang melumpuhkan ibu negara Hanoi.

Menurut kenyataan , taufan yang membadai tengah Vietnam semalam dengan kelajuan angin mencecah 130 kilometer sejam (km/j) itu merosakkan hampir 7,000 buah rumah, menenggelamkan 28,800 hektar sawah padi dan menumbangkan 18,000 pokok.

“Ia juga merobohkan 331 tiang elektrik, menyebabkan gangguan bekalan secara meluas di wilayah Thanh Hoa, Nghe An, Ha Tinh, Thai Nguyen dan Phu Tho yang menjejaskan lebih 1.6 juta penduduk,” katanya.

Di jalan-jalan di bandar Vinh, wartawan AFP melihat anggota tentera dan pasukan penyelamat menggunakan peralatan pemotong untuk membersihkan puluhan pokok dan kepingan bumbung yang menghalang laluan jalan raya.

Pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlakunya banjir kilat dan tanah runtuh di lapan wilayah ketika hujan lebat berterusan dengan 27 kampung di kawasan pergunungan terputus hubungan.

“Saya terkejut melihat bumbung ‘terbang’ dari tingkat lapan sebuah bangunan sebelum jatuh ke tengah jalan. Mujurlah tiada yang cedera. Taufan ini benar-benar menakutkan,” kata penduduk Vinh, Tran Van Hung, 65.

Di Hanoi, hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan banjir besar di jalan-jalan utama, menenggelamkan kenderaan dan menjejaskan trafik di seluruh bandar.

Taufan Kajiki kemudiannya melemah menjadi ribut tropika ketika bergerak ke Laos utara, memaksa perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Laos- dihentikan selama dua hari.

Tiada laporan korban jiwa di Laos setakat ini.





Source link