Polis sedang giat memburu seorang lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan kes tikam seorang wanita yang juga bekas isterinya di Banting, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya percaya suspek turut membawa sebilah pisau yang digunakan semasa kejadian berkenaan.
Katanya polis percaya motif kejadian disebabkan suspek – yang berumur 45 tahun itu – tidak berpuas hati terhadap wanmita yang juga warga Indonesia berkenaan selepas mereka bercerai.
“Suspek turut menuduh majikan mangsa menghasut wanita itu untuk tidak rujuk semula hubungan mereka sebagai suami isteri,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam hari ini.
Mohd Akmalrizal berkata suspek dikenali sebagai Sanusi Saripin itu sudah setahun bercerai dengan isterinya.
Semalam, Mohd Akmalrizal mengesahkan seorang wanita warga Indonesia mengalami pendarahan dalaman akibat ditikam di bahagian kiri perut dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi di Jalan Redan Kanchong Darat, Banting.
Mangsa berusia 44 tahun telah dibawa ke zon merah Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
Menurut Mohd Akmalrizal, polis telah menghubungi pasukan forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan Unit K9 Bukit Aman untuk membantu siasatan. Kes itu, tambahnya, disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
– Bernama