Malaysia Oversight

RUU Pekerja Gig akan jadi ‘kubur’ pekerja e-hailing, kata persatuan

By MkiniBM in August 26, 2025 – Reading time 4 minute
RUU Pekerja Gig akan jadi 'kubur' pekerja e-hailing, kata persatuan


Rang Undang-undang Pekerja Gig 2025 adalah perundangan tergesa-gesa yang, jika diluluskan, akan menjadi kubur pekerja e-hailing dan p-hailing, kata enam persatuan yang mewakili kedua-dua kumpulan itu hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu berkata mereka menolak sekeras-kerasnya undang-undang yang dicadangkan itu, melabelkannya sebagai tidak adil, songsang, dan hanya akan melindungi kepentingan syarikat besar.

Mereka memberi amaran RUU itu akan mengurangkan pendapatan bersih, memaksa pekerja gig sambilan dalam sektor e-hailing dan p-hailing untuk berhenti, menghapuskan persaingan, dan “menyerahkan ekosistem kepada monopoli”.

Kenyataan itu dikeluarkan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar Dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak, dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah

“Apabila bilangan pekerja gig sektor ini berkurangan sedangkan permintaan pelanggan kekal atau meningkat, kos perjalanan dan penghantaran pasti naik.

“Akibatnya pengguna menanggung harga lebih tinggi, perniagaan kecil hilang sokongan logistik, dan daya saing ekonomi digital Malaysia tergugat.

“Apabila hanya tinggal satu atau dua syarikat besar, sendiri akan jadi tebusan korporat. Inilah realiti yang menunggu jika RUU ini diteruskan, inilah pengkhianatan sebenar terhadap pekerja dan ekonomi negara,” kata mereka dalam kenyataan yang tegas itu.

Kumpulan itu berkata bahawa RUU itu mempunyai definisi longgar dan menyapu bersih semua jenis sektor gig ke dalam satu bakul.

“E-hailing, p-hailing, freelancer, penjaja. Ia seolah-olah semua sektor mempunyai cabaran yang sama. Ini bukan perlindungan, ini kekeliruan.

“Negara jiran seperti Singapura cermat dan mula dengan sektor ride-hailing/delivery dahulu. Malaysia pula mahu gopoh, akibatnya yang akan hancur adalah pemandu dan penghantar di jalanan.

“Kami yang terdiri daripada 10,000 ahli seluruh negara dan terlibat secara langsung dalam sektor e-hailing dan p-hailing menolak keras RUU ini kerana ia tidak realistik, dan hanya menguntungkan segelintir pemain besar,” kata mereka sambil menyeru semua ahli parlimen untuk melakukan perkara yang sama.

NGO North South Inisiative (NSI) hari ini, memuji RUU itu yang dibentangkan untuk bacaan pertamanya di Dewan Rakyat semalam, sebagai menawarkan rangka kerja seimbang dan berpandangan ke hadapan yang memberi manfaat kepada pekerja dan pengendali platform.

Pengarah eksekutif dan pengasas bersama NSI Adrian Pereira berkata sejak dua tahun lalu, NGO itu telah menyokong ahli Gabungan e-hailing Malaysia (GEM) untuk mendokumentasikan cabaran dan cadangan mereka kepada Madani.

Adrian berkata memandangkan ekonomi gig bersifat dinamik, RUU itu akan memperkasakan dialog sosial antara semua pihak melalui majlis perundingan yang dicadangkan, yang akan memantau secara berterusan isu berbangkit dan mencadangkan penambahbaikan dan pindaan kepada Rang Undang-undang.

cc8c0e3ae16e55b3ea6aa6efb022ea87

RUU itu berkisar kepada empat komponen utama – takrif pekerja gig, mekanisme penyelesaian pertikaian, menangani isu pembayaran dan perlindungan sosial untuk pekerja gig di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kumpulan itu bagaimanapun mempersoalkan pihak yang akan berada dalam majlis itu.

“Siapakah yang akan menganggotai majlis konsultatif? Apakah jaminan majoriti suara pekerja didengar dan diteliti atau ia sekadar melantik mereka yang mengangguk setuju setiap masa?

“Lagi parah, isu sebenar seperti kadar komisyen yang mencekik dan kadar tambang / kadar upah yang menurun langsung tidak disentuh.

“Tanggapan bahawa ia adalah perisai untuk pekerja gig adalah kosmetik semata-mata, sebaliknya ia akan memberi kesan kepada mata pencarian puluhan ribu pemandu ehailing dan phailing,” tambah mereka.

Kumpulan itu berkata bahawa cadangan potongan caruman mandatori melalui Perkeso bagi setiap transaksi oleh pemandu e-hailing dan kurier p-hailing adalah “pengkhianatan”, kerana mereka bekerja secara bebas dan dengan pekerjaan yang fleksibel, tidak seperti mereka yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.

“Rakan penghantar p-hailing yang mendapat pendapatan anggaran RM5 hingga RM10 setiap tempahan terpaksa mendapatkan lebih 100 pesanan sebulan hanya untuk layak perlindungan minimum.

“Ini belum lagi dilihat pada pasaran semasa. Ada ketika, mereka terpaksa menunggu di tepi jalan atau kaki lima vendor kerana tiada pesanan.

“Hakikatnya, hampir 40 peratus rakan penghantar akan dipaksa mencarum, tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat. Ini bukan skim perlindungan sosial, ini skim rompakan dari poket pekerja.

“Perlindungan Sosial Bencana Kerja untuk pekerja sendiri sudah ada semenjak tahun 2017, dan mengapa undang-undang ini mahu duplikasi yang sedia ada dan menekan lagi?” katanya.

Kumpulan tersebut memetik contoh antarabangsa di mana undang-undang yang sama hanya memburukkan keadaan, merujuk Sepanyol di mana Deliveroo menarik diri selepas Undang-undang Rider diperkenalkan, dan India di mana undang-undang Rajasthan hampir membunuh pemula kecil.

Mereka memberi amaran kepada Malaysia agar tidak mengulangi kesilapan yang sama, dengan alasan bahawa walaupun syarikat besar seperti akan bertahan dan menjadi lebih dominan, platform yang lebih kecil akan ditutup, akhirnya membahayakan pekerja melalui pengurangan persaingan.

“Gabungan lebih 20 persatuan e-hailing dan p-hailing yang berada dibawah PPIM, yang menyokong sepenuhnya RUU yang tular di media sosial juga diragui kesahihannya,” kata mereka merujuk kepada GEM.

[Baca laporan penuh]



Source link