Malaysia Oversight

Penyokong PN, persatuan penduduk demo bantah URA depan parlimen

By MkiniBM in August 26, 2025 – Reading time 2 minute
Penyokong PN, persatuan penduduk demo bantah URA depan parlimen


PARLIMEN | Dua kumpulan ‘menggempur’ pintu utama Bangunan Parlimen, hari ini, sebagai bantahan terhadap rang undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Kira-kira 100 orang hadir dalam perhimpunan itu yang terdiri daripada dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada penyokong PN dan NGO yang mesra dengan gabungan itu, manakala satu lagi kumpulan membabitkan Persatuan Penduduk-penduduk Wilayah Persekutuan.

Kehadiran mereka disambut oleh ahli-ahli parlimen daripada blok dan pembangkang yang tampil menerima memorandum bantahan yang dikemukakan.

bb32c2104f0c9f1d4d702fa3302b6f27

Antara wakil rakyat yang tampil menerima memorandum antaranya Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), Wong Chen (PH-Subang), Rodziah Ismail (PH-Ampang), Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju), dan Wee Jeck Seng (-Tanjung Piai).

Di blok pembangkang pula menyaksikan kehadiran lebih ramai ahli parlimen antaranya Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Shahidan Kassim (PN-Arau), Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), Idris Ahmad (PN-Bagan Serai), Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) dan Ismail Mutalib (PN-Maran).

39f3a142aa4d3d60628979afaf166acd

Perhimpunan kumpulan Persatuan Penduduk-penduduk Wilayah Persekutuan bagaimanapun bersurai sekitar setengah jam kemudian, manakala bantahan penyokong PN diteruskan dengan ucapan-ucapan pemimpin mereka.

Sementara itu NGO Ummah melalui memorandumnya menyatakan enam hujah utama dalam usaha membantah URA.

Antara lain mereka mendakwa URA melanggar hak asasi dan hak milik tanah, isu pampasan dan ketidakadilan sosial, risiko gentrifikasi dan kehilangan identiti, perubahan demografi politik, ancaman terhadap tanah simpanan Melayu dan kurangnya kuasa autonomi negeri.

7bbe065d5118aac37b5fbb98ec75c989

Pengerusi Ummah, Zai Mustafa kemudiannya menyerahkan memorandum berkenaan kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu yang tampil di pintu utama Bangunan Parlimen.

Aiman bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tak mahu ulas apa-apa, saya terima saja memorandum tak ada apa-apa nak disorok. Terima kasih,” katanya ringkas.

Laporan oleh N Faizal Ghazali, Hariz Mohd, Alyaa Alhadjri



Source link