‘Sistem Saringan Awal Penumpang’ (APSS) yang bakal diperkenalkan pada hujung tahun ini akan menjadi pencetus perubahan dalam mengatasi isu keselamatan dan sindiket warga asing di sempadan pintu masuk negara, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
“Percubaan kita APSS adalah hujung tahun ini. Di Malaysia lebih kurang 56 syarikat penerbangan menggunakan perkhidmatan lapangan terbang kita. Jadi untuk permulaan kita akan buat dulu untuk 10 syarikat penerbangan.
“Maknanya, pengembara yang masuk ke sini dengan menggunakan 10 syarikat penerbangan ini akan menggunakan sistem itu.
“Di bawah sistem ini, nama penumpang, nombor pasport, tempat duduk di kapal atau makanan yang dia pesan semua itu adalah dalam butiran,” katanya.
Tambahnya ia memberi kelebihan apabila butiran penumpang dapat diketahui lebih awal sebelum mereka memulakan perjalanan.
“Jadi, itu sendirinya akan mengurangkan insiden seperti NTL (sindiket kemasukan warga asing) dan isu keselamatan akan lebih mudah kita akan dapat kurangkan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Malaysiakini sebelum ini mendedahkan kewujudan sindiket-sindiket warga asing seperti ‘counter settings‘, ‘fly‘, ‘u-turn’ dan ‘phantom travels‘.

Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif dan teknologi baru seperti ‘autogate’ dan sebagainya, sindiket-sindiket ini masih tidak dibanteras sepenuhnya.
Terdahulu, Saifuddin melancarkan majlis ‘Benteng Persada’ sempena bulan kebangsaan anjura Agensi Kawalan dan Perlidungan Sempadan (AKPS).
Majlis turut diserikan dengan pra-pelancaran pakaian interim taktikal AKPS.
Antara yang hadir di majlis ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Awang Alik bin Jeman, dan Ketua Pengarah AKPS, Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata cadangan memperkenalkan sistem APSS bermula selepas tragedi 9/11 di Amerika Syarikat.
“Tragedi 9-11 tentunya memberikan impak yang besar tentang pergerakan travelers menggunakan pesawat udara. Ekorannya, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu bersetuju untuk diadakan satu sistem di mana penumpang yang nak berpergian dan melancong, mestilah maklumat tentang penumpang itu diketahui lebih awal.
“Jadi apabila ia dipersetujui begitu maka seluruh negara yang mempunyai syarikat penerbangan ini mereka kena patuh. Jadi sistem itu namanya Advanced Passenger Screening System dan ia akan dipantau lah oleh ICAO (International Civil Aviation Organization),” katanya.
Katanya, ICAO telah datang beberapa kali ke negara ini untuk memastikan bahawa dari sudut kepatuhan APSS ini dan mengikut jadual.
Menurutnya, sistem itu akan dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Sistem ini sedang dibangunkan oleh vendor yang dilantik dengan perolehan RM80 juta,” katanya.