PARLIMEN l Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor pagi ini memberi amaran kepada seorang ahli parlimen pembangkang bahawa dia masih berisiko disiasat bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) jika memetik dokumen rahsia dalam Dewan Rakyat.
Amaran itu susulan usul yang dikemukakan semalam oleh Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa), yang mahu merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu Tabung Haji (TH).
Menurut Marzuk, dia menerima satu dokumen rahsia yang didakwa bercanggah dengan maklumat yang diberikan Na’im berhubung kos penjenamaan semula TH.

Ramli berkata walaupun Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan memberi kekebalan kepada ahli parlimen daripada prosiding undang-undang, namun, polis tetap boleh membuka siasatan jika menerima laporan.
“… apa kita bercakap di sini (Dewan Rakyat) akan dipancar di luar (secara langsung).
“Di luar jika ada maklumat pertama, pihak yang berkuasa, polis akan jalan penyiasatan.
Ini berpandu pengalaman saya 34 tahun dalam melaksanakan penyiasatan PDRM.
“Gerenti 110 peratus YB Pengkalan Chepa akan dipanggil polis, dan ditanya dari mana dapat dokumen itu,” karanya yang pernah menjadi pegawai polis.
Ramli turut menasihati Marzuk supaya berhati-hati jika mahu memetik dokumen rahsia berkenaan dalam Dewan Rakyat.
Ini kerana di bawah Seksyen 16 Akta Rahsia Rasmi (OSA), beban bukti beralih kepada tertuduh untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, jelas Ramli.
“Prihatin la pada YB bila nak main dengan dokumen OSA,” katanya.

Dalam ucapannya di Dewan Rakyat minggu lalu, Na’im mengulangi kenyataan TH yang menafikan dakwaan kononnya RM20 juta diperuntukkan untuk penjenamaan semula tabung berkenaan.
Menurutnya, kos sebenar penjenamaan semula itu ialah RM5.9 juta.
Bagaimanapun, semalam Marzuk mendakwa dokumen yang diterimanya menunjukkan jumlah sebenar ialah RM18 juta.






