Paru-Paru Khinzir Dipindahkan Ke Tubuh Manusia Buat Pertama Kali
Effi Saharudin
Xenotransplan ialah teknologi yang sudah cuba dibangunkan sejak 15 tahun kebelakangan ini. Penggunaan organ haiwan sebagai ganti organ manusia berhadapan pelbagai cabaran dengan setakat ia hanya bertahan selama beberapa bulan sebelum komplikasi muncul. Baru-baru ini penyelidik dari China mengumumkan kejayaan memindahkan paru-paru khinzir ke dalam tubuh manusia.
Paru-paru khinzir dengan genetik yang disunting dipindahkan ke dalam tubuh penerima manusia berusia 39 tahun yang disahkan sudah kematian otak. Pada peringkat awal paru-paru berfungsi dengan baik. Tetapi selepas tiga kerosakan tisu dikesan kerana penolakan oleh tubuh penerima. Walaupun penyembuhan dikesan, eksperimen dihentikan selepas sembilan hari.

Penyelidik berjaya mengumpul data yang berguna tetapi mengatakan lebih banyak kajian perlu dilakukan khususnya dalam isu penolakan organ haiwan sebelum paru-paru khinzir boleh dijadikan organ gantian manusia.
Paru-paru ialah antara organ yang sukar didermakan dengan hanya 28% paru-paru yang didermakan boleh digunakan walaupun selepas hanya beberapa jam dikeluarkan dari tubuh si mati. Lima tahun lalu penyelidik dari Columbia University memindahkan paru-paru manusia ke dalam khinzir untuk memulihkan kerosakan sebelum dipindahkan semula ke dalam penerima manusia.
Tahun ini, Towana Looney menjadi manusia paling lama hidup dengan ginjal khinzir dengan ia bertahan selama 130 hari sebelum dikeluarkan semula selepas menghadapi komplikasi. Selain ginjal, jantung khinzir dan hati juga berjaya dipindahkan tetapi juga tidak bertahan lama kerana penolakan serta virus.
Kenapakah khinzir dipilih menjadi organ penderma? Kerana khinzir matang dengan pantas dan mempunyai saiz organ yang sama dengan manusia. Organ pengganti boleh dihasilkan dalam masa tiga bulan sahaja berbanding menanti bertahun lamanya untuk mendapatkan organ manusia yang serasi dengan tubuh penerima.
Kertas kajian penyelidikan China ini telah diterbitkan dalam jurnal Nature.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.