Empat syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur pengangkutan awam antara yang mencatatkan kerugian pada tahun 2023.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada soalan yang dikemukakan oleh Lim Lip Eng (PH-Kepong), semalam.
Syarikat berkenaan ialah Prasarana Sdn Bhd, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.
“Kebanyakkan syarikat ini melaksanakan projek infrastruktur awam terutamanya pengangkutan rel dan infrastruktur jambatan, mengalami kerugian adalah untuk menyokong penyediaan perkhidmatan bagi keselesaan rakyat dengan kadar tambang yang murah dan berpatutan,” menurut jawapan bertulis itu.
Terdahulu Lim meminta kementerian itu menyenaraikan 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merekodkan jumlah kerugian tertinggi, serta langkah dan tindakan undang-undang yang diambil oleh kerajaan untuk menangani kerugian tersebut.
Kementerian itu menjelaskan, syarikat-syarikat GLC di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) ditubuhkan bukan berorientasikan keuntungan tetapi untuk tujuan tertentu berdasarkan mandat yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, MOF Inc mengambil langkah memantau prestasi syarikat berkenaan termasuk mewajibkan pembentangan pelan perniagaan tahunan serta penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
“MKD juga telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Mesyuarat Corporate Improvement Programme (CIP) bagi syarikat-syarikat MKD yang tidak mencapai target KPI sekurang-kurangnya 80 peratus pada tahun semasa di mana Mesyuarat CIP bertujuan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh syarikat dan membincangkan penambahbaikan struktur syarikat,” jelas kementerian itu.
Dalam masa sama, kementerian turut menyenaraikan beberapa syarikat di bawah MOF Inc yang mencatat keuntungan, antaranya Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Bank Pertanian, IJN Holdings dan Sirim Berhad.