Sony InZone merupakan jenama siri aksesori yang lebih memfokuskan kepada segmen gaming. Sebelum ini, Sony baru sahaja melancarkan fon kepala Sony INZONE H9 II, kemaskini kepada fon kepala Sony InZone H9 yang dilancarkan beberapa tahun lepas.

Terkini, mereka juga dilihat telah menambahkan tiga lagi aksesori gaming baharu yang memfokuskan kepada gaming untuk PC, iaitu papan kekunci Sony INZONE KBD-H75, tetikus gaming Sony INZONE Mouse-A dan pad tetikus Sony INZONE Mat-F dan INZONE Mat-D.
Kesemua aksesori-aksesori gaming yang diperkenalkan ini hadir dengan kerjasama bersama organisasi e-sukan terkemuka Fnatic dimana Sony nampaknya mahukan aksesori-aksesori ini digunakan bukan sahaja oleh penggemar permainan PC biasa, tetapi juga atlit-atlit e-sukan.

Bermula dengan papan kekunci Sony INZONE KBD-H75, papan kekunci ini hadir dengan susun atur 75 peratus, dimana bahagian numpad papan kekunci dibuang. Rangka papan kekunci ini diperbuat daripada logam aluminum yang membuatkannya berat dan sukar untuk digerakkan, sesuai untuk sesi gaming yang memerlukan konsentrasi tinggi.
Dari segi penggunaan suis, KBD-H75 menggunakan suis Hall-Effect yang membolehkan pengguna untuk mengubahsuai tekanan pengaktifan suis mengikut kesesuaian mereka, dan mempunyai kadar pola 8000Hz dan juga hadir dengan binaan komponen yang boleh tahan lebih lama berbanding suis mekanikal biasa.
Tetikus gaming Sony INZONE Mouse-A pula ialah tetikus gaming nirwayar lima butang yang hadir dengan berat keseluruhan yang sangat ringan pada 48.4g sahaja. Jika anda seorang gamer yang memerlukan kebolehan untuk menggerakkan tetikus dengan pantas, ini ialah tetikus yang sesuai untuk anda.

Dengan dongel yang boleh dipasang pada kabel USB Type-C, tetikus INZONE Mouse-A ini juga hadir dengan kadar pola setinggi 8000Hz yang membolehkan anda menggerakkan kursor dengan jarak jauh dengan hanya menggerakkan tetikus anda dengan sedikit sahaja. Digabungkan bersama-sama komponen sensor Sony 3950IZ tersendiri, tetikus ini membolehkan anda untuk mencari mangsa seterusnya anda dengan lebih pantas dan tepat.
Butang-butang pada tetikus INZONE Mouse-A ini juga menggunakan suis optikal yang menggunakan cahaya untuk mengesahkan pengaktifan input pada tetikus yang mana ia adalah lebih jitu daripada menggunakan suis mekanikal biasa.
Sony Malaysia telah memperlihatkan penawaran aksesori-aksesori gaming ini pada laman web mereka, termasuklah dengan tanda harga tempatan. Produk-produk ini akan dilancarkan secara global pada 29 Ogos ini, dan dijangka pasaran Malaysia juga akan mengikuti tarikh pelancaran ini.
- Sony INZONE KBD-H75 – RM1299
- Sony INZONE Mouse-A – RM749
- Sony INZONE MAT-F – RM299
- Sony INZONE MAT-D – RM199