Malaysia Oversight

Ahmad Marzuk sangkal jawapan menteri

By MkiniBM in August 25, 2025 – Reading time 3 minute
Ahmad Marzuk sangkal jawapan menteri


PARLIMEN | Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) menyangkal jawapan Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar bahawa kos projek penjenamaan (rebranding) semula melibatkan jumlah RM5.9 juta.

Ahmad Marzuk berkata dia sebelum ini mendakwa anggaran kos berkenaan adalah RM20 juta, namun berdasarkan maklumat sulit dan dokumen yang diperolehnya selepas itu mendapati kos projek terbabit adalah RM18 juta.

“Saya ada menerima satu maklumat berdokumen yang sulit dan kalaulah maklumat ini benar saya serah pada menteri untuk menjustifikasikannya. Jawapan menteri yang mengatakan RM5.9 juta terlibat dengan rebranding itu sangat salah.

“Kerana dokumen ini menunjukkan ia adalah sekitar RM20 juta iaitu (kos) sebenarnya dalam dokumen ini RM18 juta. Jadi itu yang (sebelum ini) saya sebut sekitar RM20 juta, sedangkan menteri beritahu RM5.9 juta,” katanya yang tampil mencelah pada sesi persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Isu ini bermula pada 11 Ogos lalu, apabila Marzuk, mendakwa bahawa RM20 juta wang hasil titik peluh pendeposit digunakan untuk penjenamaan semula, dan tiga syarikat yang sama ada dimiliki sepenuhnya atau majoriti oleh bukan dan bukan bumiputera telah dilantik.

Minggu lalu juga, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau menggantung Marzuk selama dua hari selepas ahli parlimen itu mencetuskan pertikaman lidah dengan Mohd Na’im.

6ca12e876f2a400657f0944644be3e8e

Marzuk, yang mencelah ketika Na’im menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13, mendakwa menteri berkenaan gagal menjawab secara terus persoalannya sama ada telah menganugerahkan kontrak penjenamaan semula kepada sebuah syarikat milik bukan Melayu secara runding terus.

Dalam ucapan penggulungannya Isnin lalu, Na’im mengulangi kenyataan Tabung Haji yang menafikan dakwaan dana haji itu memperuntukkan kira-kira RM20 juta untuk projek rebranding.

Tabung Haji telah mengeluarkan kenyataan bahawa latihan penjenamaan semula itu bernilai RM5.9 juta dan bukannya RM20 juta seperti yang didakwa, kata Na’im.

Katanya projek penjenamaan semula sepanjang tiga tahun itu akan melibatkan kajian pasaran menyeluruh dan libat urus dengan 9.6 juta pendeposit untuk lebih memahami keperluan mereka.

766444880efa277db329b2113625ccc8

Mengenai mengapa tabung itu – yang hampir memonopoli sektor haji di Malaysia – memerlukan penjenamaan semula, Na’im menjelaskan ia kerana GLC tersebut menghadapi kesukaran mendekati golongan muda.

Dia turut mendedahkan bahawa ketika Marzuk menjadi timbalan menteri hal ehwal agama, Tabung Haji pernah menganugerahkan kontrak kepada 23 syarikat bukan bumiputera.

Dalam sidang media selepas itu, Marzuk sekali lagi menegaskan Na’im gagal menjawab secara terus persoalannya, dan menyifatkan dirinya dihukum secara tidak adil dengan penggantungan tersebut.

Sementara itu Marzuk juga menafikan bahawa 23 syarikat yang dimaksudkan Na’im kesemuanya adalah milik bukan bumiputera seolah-olah ia juga adalah kerja rebranding tanpa tender terbuka.

“Saya telah buat semakan bahawa ada syarikat antaranya (dua) dimiliki oleh sepenuhnya bumiputera, jadi tak betul (23 syarikat bukan bumiputera), satu lagi digambarkan juga kerja rebranding sebenarnya ini bukan kerja rebranding, ini open tender di zaman kami,” dakwanya.

Terdahulu Marzuk bangun mencelah bagi memohon speaker Dewan Rakyat mengemukakan pertanyaan mengenai sejauh mana ahli-ahli Parlimen mempunyai imuniti untuk mendedahkan dokumen berstatus sulit di dewan mahupun di luar dewan.

Laporan oleh N Faizal Ghazali, Hariz Mohd, Qistina Nadia Dzulqarnain.



Source link