KUANTAN: Avicenna Academy Hub bakal melangkah sebagai pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) rawatan alternatif bertaraf antarabangsa yang berpotensi memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara.
Pusat latihan tersebut membabitkan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Diyana Academy dan rakan strategik antarabangsa, Cultural Center Kedutaan Republik Islam Iran serta Allied Health Maldives.
Melalui pengiktirafan Maldives Allied Health, pusat itu diberi mandat melatih pelajar mendapatkan pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM-3) dan diploma seperti terapi bekam, urutan, al-Fasdu, pos natal, ruqyah, pengurusan umrah dan haji serta pengurusan masjid.
Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pengamal perubatan alternatif termasuk perubatan Islam atau pos natal turut tergolong dalam kumpulan pekerja tidak formal dalam industri gig ekonomi.
“Selain e-hailing, p-hailing, pekerja bebas, pemuzik, pereka grafik dan jurugambar, pengamal perubatan alternatif juga perlu diiktiraf dan diperjuangkan nasib serta sumbangan mereka.
“Jadi, profesion ini perlu turut diperkasakan, dilindungi mata pencarian dan kebajikan kerana mereka juga sebahagian daripada lebih 1.16 juta penggiat ekonomi gig di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sharkar berkata, beliau menghargai inisiatif Avicenna Academy dalam mendukung aspirasi negara melalui pusat pendidikan dan latihan berkualiti khususnya bagi penggiat ekonomi gig.
“Dengan kerjasama antarabangsa yang dijalinkan, saya percaya pusat ini mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi gig di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Avicenna Academy, Mohamad Saifullah Yusoff berkata, pusat itu bukan sahaja sebuah pusat latihan, tetapi platform bagi menghubungkan ilmu, kemahiran dan peluang kerjaya di peringkat global.
“Kami berbangga dapat membuka ruang kepada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk mendapat pengiktirafan profesional dalam bidang kesihatan alternatif,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, Avicenna Academy Hub merupakan pusat latihan yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan melalui pendidikan dan pensijilan profesional.
“Dengan kerjasama strategik antarabangsa, akademi ini berperanan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan latihan TVET rawatan alternatif dan profesional berimpak tinggi di rantau ini,” ujarnya. – UTUSAN