Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jumlah peruntukan yang diterima sesuatu kumpulan masyarakat tidak harus dijadikan polemik kerana setiap pembangunan dilaksanakan secara adil dan saksama menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Membentangkan usul RMK13 di Dewan Negara hari ini, Anwar berkata kerajaan MADANI sentiasa komited memastikan setiap kaum termasuk Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, wanita, Orang Kurang Upaya (OKU) dan belia menerima manfaat mengikut keperluan.
“Saya sangat tidak senang dengan polemik sedemikian kerana ia memberikan gambaran seolah-olah orang Melayu sudah selesa… begitu juga masyarakat India atau Cina.
“Maka, jangan pertikai apabila sesuatu kaum menerima manfaat lebih tinggi. Itu berdasarkan keperluan, bukan kaum. Kalau nak minta kemudahan untuk masyarakat India, silakan. Orang Melayu majoriti di negara ini dan yang miskin majoritinya juga Melayu. Jadi sebab itu kita harus berikan tumpuan,” katanya.
Beliau berkata contohnya, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan secara inklusif, hampir 57 peratus penerima adalah kaum Melayu, manakala Bumiputera Sabah 7.57 peratus dan Bumiputera Sarawak pula 6.23 peratus.
Pada masa sama, beliau berkata masyarakat India pula menerima bantuan melalui pelbagai saluran, termasuk STR dan SARA sebanyak RM972 juta dan jaminan perumahan RM2.5 bilion.
Semasa membentangkan usul itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggariskan sembilan prakarsa utama RMK13 termasuk pemerkasaan sosial berteraskan insan MADANI, kos sara hidup, pemerataan agihan ekonomi, pemulihan pendidikan dan perumahan rakyat.
Selain itu, ia turut melibatkan pembangunan wilayah dan desa, daya saing industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) serta pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan kerajaan telus, tangkas dan tuntas.
Sementara itu, Anwar berkata usul pelaksanaan RMK13 yang dibentangkan hari ini akan dipantau secara berterusan bagi memastikan setiap projek dan inisiatif memberi impak nyata kepada rakyat.
Beliau tidak mahu RMK13 sekadar menjadi dokumen perancangan, sebaliknya perlu menjadi pelan tindakan yang dapat dilaksanakan secara berkesan dan telus.
Anwar berkata ini dibuktikan dengan 1,177 sekolah daif berjaya dinaik taraf setakat Jun lepas, pencapaian tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh singkat, selain pembinaan sekolah baharu turut meningkat dengan ketara kepada 102 sekolah dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini berbanding purata 20 hingga 40 sekolah sebelum ini.
Perdana Menteri berkata RMK13 adalah kesinambungan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan platform pelaksanaan ekonomi MADANI untuk mentransformasikan struktur ekonomi ke arah penciptaan nilai secara menyeluruh dengan termasuk tumpuan serius terhadap isu kos sara hidup rakyat.
Hal itu diterjemahkan menerusi langkah kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kini RM1,700, selain memperkenalkan gaji progresif bagi pekerja swasta serta skim saraan perkhidmatan awam (SSPA), melibatkan tambahan perbelanjaan RM10 bilion tahun ini serta RM18 bilion tahun depan.
“Buat pertama kali dalam sejarah, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menetapkan gaji minimum RM3,100. Ini contoh yang kita harap akan diikuti syarikat swasta, khususnya yang mencatat keuntungan besar,” kata Anwar.
Selain itu, beliau berkata sistem pendidikan prasekolah hingga menengah akan terus diperkukuh agar tiada anak Malaysia tercicir, termasuk melalui penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta literasi digital.
“Kerajaan juga memperkenalkan Program Sejati MADANI yang membolehkan masyarakat tempatan menentukan sendiri projek pembangunan di kawasan mereka. Ini pendekatan baharu yang memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih, sama ada membeli peralatan, menternak atau melaksanakan projek komuniti lain,” kata beliau.
Anwar turut menyentuh dasar mempertahankan warisan negara selaras dengan aspirasi ‘Melakar Semula Pembangunan’ dan Ekonomi MADANI, dengan usaha pemuliharaan itu menjadi antara projek utama RMK13 (2026-2030) termasuk pemulihan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
“Projek itu, bukan sahaja mengangkat semula mercu tanda negara tetapi mengembalikan makna sebenar warisan Kesultanan Melayu dan Islam… sebanyak RM1 bilion telah mula dibelanjakan melalui Khazanah,” kata beliau.
Anwar berkata RMK13 bukan sekadar pelan pembangunan ekonomi, tetapi juga sebuah kerangka menyeluruh untuk menjamin kesejahteraan, memperkukuh perpaduan nasional dan memastikan rakyat menikmati taraf hidup lebih baik.
Sehubungan dengan itu, beliau memohon agar Dewan Negara meluluskan RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, dengan menumpukan kepada strategi meningkatkan siling (potensi pertumbuhan ekonomi) dan menaikkan lantai (kesejahteraan rakyat).
– Bernama