Lebih 90 NGO dan persatuan penduduk tampil menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 yang dibentangkan di parlimen minggu lalu, dengan mendakwa ia tidak adil, pincang dari sudut undang-undang dan mencabul hak pemilik harta.
Gabungan itu mendesak kerajaan segera menarik balik rang undang-undang terbabit serta mengisytiharkan moratorium terhadap semua projek pembangunan semula bandar sehingga digubal satu kerangka undang-undang baru yang lebih adil dan komprehensif.
“Kami menuntut agar kerajaan segera menarik balik rang undang-undang tersebut dan mengisytiharkan moratorium ke atas semua projek pembangunan semula bandar sehingga satu rang undang-undang yang lebih komprehensif dan adil digubal,” kata mereka pada kenyataan bersama di Petaling Jaya hari ini.
Gabungan NGO ini termasuk Lawyers for Liberty (LFL), KL Residents Action for Sustainable Development (KLRA+SD) yang mewakili 75 persatuan, PJ Sejahtera, dan Persatuan Pembeli-Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA). Turut menyatakan sokongan ialah Selamatkan Kuala Lumpur, Fomca, Gabungan Darurat Iklim Berhad, Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), serta Gabungan Bertindak Malaysia.

Wakil-wakil utama yang hadir di sidang media ialah N Surendran (LFL), Tan Booi Charn (KLRA+SD), Shanti Somasundram (PJ Sejahtera) dan Rafidah Ibrahim (Jawatankuasa Tindakan Kampung Sungai Baru).
Janji kerajaan
Untuk rekod, URA dibentangkan buat bacaan pertama pada 21 Ogos, dengan kerajaan menggambarkannya sebagai langkah transformasi untuk menyelaras pembangunan semula kawasan bandar usang, memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan nilai hartanah.
Cadangan itu dikemukakan bagi menangani kepadatan tinggi, kemudahan lapuk dan kekurangan infrastruktur moden di kawasan bandar lama.
Kerajaan menegaskan URA memberi kerangka undang-undang lebih telus berbanding penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 (LAA) yang sering dipertikai.
Namun, gabungan NGO dan persatuan penduduk itu berpendapat RUU berkenaan gagal memenuhi matlamat tersebut.
Mereka mendakwa meskipun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalankan 108 sesi konsultasi, draf akhir yang dibentangkan hampir tidak berubah daripada versi asal yang telah dikritik hebat.
“Tanpa sebarang perbincangan dua hala selepas maklum balas awam ditutup pada 31 Mac, RUU yang dibentangkan pada 21 Ogos amat mengejutkan, pada dasarnya mengabaikan maklum balas yang diberikan,” kata mereka sambil menegaskan gesaan untuk rundingan pelbagai hala bersama semua pemegang taruh turut diabaikan.
Risiko pemilik diusir
Mereka turut membantah ambang persetujuan serendah 75 peratus untuk meluluskan projek pembangunan semula kerana ia membolehkan baki 25 peratus pemilik yang tidak bersetuju dikenakan tindakan melalui LAA.
“Ini bermakna ramai yang mempunyai sebab sah untuk tidak bersetuju akan terpaksa menerima sama ada penalti ekonomi berupa pampasan yang rendah atau diusir secara paksa dari komuniti mereka.
“Ini adalah suatu pencabulan yang amat dahsyat dan bercanggah dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan kita, khususnya Perkara 8 (Kesamarataan) dan 13 (Hak terhadap Harta),” katanya lagi.
Definisi luas, tiada perlindungan
Mereka juga mempersoalkan takrifan ‘kawasan pembaharuan semula bandar’ dalam RUU yang terlalu luas sehingga boleh merangkumi hampir semua jenis hartanah.
“Kekhuatiran ini ditambah dengan ketiadaan perlindungan kukuh untuk hak pemilik di bawah undang-undang hartanah sedia ada.
“Situasi semasa tanpa kawal selia yang kukuh telah pun mewujudkan suasana ‘undang-undang rimba’ di mana pemaju yang agresif bebas bergerak dengan kerjasama pihak berkuasa.
“URA hanya akan memburukkan keadaan dengan memberikan senjata berganda kepada pemaju melalui LAA dan URA,” dakwa mereka.
