Malaysia Oversight

Rayer gesa tindakan kes buli pelajar OKU

By MkiniBM in August 25, 2025 – Reading time 2 minute
Rayer gesa tindakan kes buli pelajar OKU


Seorang ahli parlimen DAP menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan susulan berhubung kes buli yang didakwa berlaku pada 2024 melibatkan seorang pelajar daripada sebuah institusi pendidikan swasta di Hulu .

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata laporan polis sudah dibuat oleh keluarga mangsa di balai polis Kuala Kubu Bharu pada Disember tahun lalu.

Namun, katanya keluarga terbabit masih menunggu keadilan untuk remaja itu yang kini berusia 15 tahun.

“Sehingga hari ini, belum ada sebarang tindakan susulan oleh pihak polis terhadap suspek-suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, dia menggesa tindakan segera diambil oleh pegawai penyiasat kes berkenaan di Balai Polis Kuala Kubu Bharu.

Rayer turut mendesak Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail serta Jabatan Siasatan Jenayah untuk meneliti perkara ini.

Menurutnya, mangsa yang merupakan pemegang kad OKU dimasukkan ke hospital tahun lalu selepas diserang secara fizikal dan dibuli oleh pelajar lain dari institusi sama.

Dia turut mendakwa laporan perubatan berhubung kecederaan dialami pelajar tersebut menunjukkan dia turut menjadi mangsa serangan seksual.

Malaysiakini tidak menamakan institusi pendidikan yang didakwa terbabit sementara menunggu maklum balas rasmi.

Kes-kes buli di sekolah kebelakangan ini mendapat perhatian meluas masyarakat serta mencetuskan desakan berulang daripada ibu bapa, NGO dan ahli politik supaya langkah pencegahan dan mekanisme akauntabiliti diperkukuh.

a7b2ee3b30a6a48fc7c9543313b69c02

Terbaru, kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir mencetuskan kemarahan rakyat seluruh negara, dengan orang ramai mendesak pihak berkuasa bertindak segera serta melaksanakan pembaharuan bagi menjamin keselamatan pelajar.

Zara ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang di bawah asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Keluarganya percaya buli mungkin menjadi faktor dalam kematian remaja itu. Prosiding inkues kematiannya dijadual bermula pada 3 Sept.

Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, N Faizal Ghazali

[Baca berita asal]



Source link