Malaysia Oversight

PAC bidas kelemahan kawalan tanah di KL, gesa reformasi

By MkiniBM in August 25, 2025 – Reading time 3 minute
PAC bidas kelemahan kawalan tanah di KL, gesa reformasi


PARLIMEN l Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa mengambil pendekatan lebih menyeluruh dan seimbang dalam merancang pembangunan tanah di Kuala Lumpur, susulan kebimbangan berhubung ketelusan dan integriti.

Timbalan pengerusinya, Teresa Kok, mencadangkan agar menubuhkan sebuah jawatankuasa tetap untuk memantau isu tanah termasuk berkaitan pemilikan dan pembangunan.

Dia berkata jawatankuasa itu perlu melibatkan penyertaan ahli parlimen Kuala Lumpur, memandangkan pandangan wakil rakyat sebelum ini tidak diambil kira oleh jawatankuasa eksekutif tanah.

“Bagi mengukuhkan akauntabiliti demokratik, juga harus mengembalikan peranan pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.

“Ketua setiausaha negara pula boleh bertindak sebagai timbalan pengerusi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Teresa turut menegaskan walaupun Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 memberi kuasa penuh kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam hal pembangunan, wajar mempertimbang pindaan undang-undang untuk memperkenalkan sistem majlis perbandaran dilantik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dia berkata PAC berpendapat DBKL perlu memastikan semua urus niaga dan keputusan penggunaan tanah mematuhi Pelan Struktur dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang digazetkan, dan sebarang ketidakpatuhan mesti dijelaskan secara terbuka.

“Kerajaan mesti memastikan penjualan tanah kerajaan dilakukan secara telus dan terbuka melalui tender dengan prosedur yang jelas, bukan melalui rundingan terus,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga diminta segera memuktamadkan pindaan kaedah pengiraan premium tanah yang lapuk, agar nilai pelepasan tanah kerajaan selaras dengan harga pasaran dan tidak dijual di bawah nilai sebenar.

Teresa turut menekankan keperluan menjadikan sistem OSC 3.0 Plus DBKL – yang mengandungi data tanah milik agensi kerajaan termasuk nombor lot, lokasi, saiz, zon dan status penggunaan – dapat diakses orang ramai tanpa penangguhan.

‘Tiada semak imbang berkesan’

Sidang media hari ini diadakan selepas PAC membentangkan laporan mengenai pembangunan tanah di Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, pejabat ketua pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, serta DBKL di Dewan Rakyat hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin, yang menjelaskan PAC menggunakan kuasanya di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) untuk memulakan prosiding walaupun isu berkenaan tidak dibangkitkan melalui Laporan Ketua Audit Negara.

Menurutnya, prosiding itu bertujuan meneliti isu pengurusan dan pembangunan tanah di Kuala Lumpur agar dilaksana secara cekap, berkesan dan mematuhi garis panduan sedia ada.

“Peranan dan tanggungjawab khusus setiap pihak dalam proses pembangunan tanah turut dibincangkan bagi memastikan pelaksanaan projek adalah telus, sah dan berpihak kepada kepentingan kerajaan serta rakyat,” katanya.

Berdasarkan sembilan prosiding antara 5 Feb hingga 21 Mei lalu, PAC merumuskan 12 pemerhatian utama, antaranya peranan Lembaga Penasihat Ibu Kota Persekutuan yang terhad kepada nasihat semata-mata di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, tanpa kuasa membuat keputusan bersama – berbeza dengan pihak berkuasa tempatan di negeri lain.

Kekurangan itu, kata Mas Ermieyati, menyebabkan tiada semak imbang berkesan terhadap keputusan pembangunan tanah kerajaan di Kuala Lumpur.

Pelanggaran terhadap Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang berterusan menjadi penyebab pembangunan yang tidak terkawal dan membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk memohon pembangunan.

“Pembatalan rizab tanah awam dan kawasan hijau yang telahdiwartakan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur dan diberimilik kepada pihak pemaju adalah isu kritikal yang boleh

menjejaskan kualiti hidup penduduk dan fungsi ekologi bandar,” katanya.

Isu kolam takungan Kampung Bohol

Mas Ermieyati turut menyorot projek kolam takungan banjir Kampung Bohol yang kontroversi, apabila PAC mendapati bantahan 1,275 penduduk tidak dipertimbangkan dalam keputusan memindahkan pemilikan tanah kepada pemaju.

Beliau berkata terdapat perbezaan pandangan ketara berhubung spesifikasi teknikal kolam berkenaan – termasuk reka bentuk, kedalaman, saiz dan penyelenggaraan – yang boleh menjejaskan fungsi mitigasi banjir.

Laporan PAC itu dijangka dibahaskan oleh ahli parlimen merentas parti di Dewan Rakyat esok, dengan Mas Ermieyati bakal menggulung perbahasan.


Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd dan, Noor Faizal Ghazali



Source link