Malaysia Oversight

Wanita perlu cabar diri sertai ATM, bina kerjaya profesional

By TheSun in August 25, 2025 – Reading time 2 minute
Wanita perlu cabar diri sertai ATM, bina kerjaya profesional


KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu membuang rasa ragu untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bukan sahaja menjadi bukti kemampuan mereka dalam bidang ketenteraan, malah membuka pelbagai peluang kerjaya profesional.

Pegawai Staf 2 Urusetia Perhubungan Raya Tentera Darat Mejar Zita Aina Ahmad berkata pengalaman berkhidmat hampir 21 tahun dengan ATM termasuk terlibat dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Republik Demokratik Congo, banyak mengajarnya mengenai kemampuan sebenar wanita.

“Kita perlu mencari dan mencabar diri sendiri sebagai wanita. Kadangkala, kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya mampu melaksanakan tugas tersebut. Dengan sokongan rakan-rakan lelaki, kita dapat melaksanakan semua tugas itu bersama-sama.

“Saya menyeru kepada wanita terutamanya golongan muda, untuk menyertai perkhidmatan tentera kerana ia akan menjadikan anda siapa. Anda boleh jadi doktor, pentadbir, pakar IT, jurutera dan apa sahaja sebenarnya dalam Angkatan Tentera Malaysia,” katanya dalam rancangan “Apa Khabar Malaysia” oleh Bernama TV di sini hari ini.

Mengimbas kembali pengalamannya di negara Congo, Zita Aina yang berkhidmat sebagai pegawai pemerhati tentera mendedahkan bahawa tugasnya ialah turun ke lapangan bagi mendapatkan laporan ancaman keselamatan, khususnya yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.

“Saya ditugaskan ke kawasan misi bersama pegawai dari 12 hingga 13 negara lain. Kehadiran pegawai wanita lebih mudah untuk mendekati golongan wanita dan kanak-kanak, memperoleh maklumat. Senjata saya hanyalah kata-kata, dengan berbicara kepada mereka penuh keikhlasan,” katanya.

Beliau berkata cabaran sebagai pegawai wanita di kawasan konflik bukan sahaja memerlukan keberanian, tetapi juga kebijaksanaan dalam menyesuaikan diri, termasuk melalui insiden letupan bom berhampiran tempat kediamannya pada ketika itu.

Bagaimanapun, Zita Aina berkata semua pengalaman pahit dan getir itu tidak pernah mematahkan semangatnya, malah menjadi bukti bahawa pegawai tentera wanita juga mampu menunaikan tanggungjawab di medan operasi antarabangsa.

Pada 12 Feb lepas, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari menyatakan bahawa keanggotaan wanita dalam ATM merekodkan kurang dua peratus daripada sasaran 10 peratus yang ditetapkan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Adly berkata seramai 9,550 anggota wanita berkhidmat dalam ATM sehingga 31 Dis tahun lepas, merangkumi 6,574 anggota tentera darat, 1,953 tentera laut dan 1,023 tentera udara.

Seramai 222 anggota wanita turut pernah berkhidmat di luar negara dalam misi kemanusiaan, misi pengaman di bawah PBB latihan bersama negara-negara rakan strategik serta tugasan diplomatik ketenteraan.

Penglibatan anggota wanita turut terserlah dalam tiga misi kemanusiaan antarabangsa ATM, termasuk Op STARLIGHT bagi memberikan bantuan perubatan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh; misi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di Malaysia; serta misi bantuan gempa bumi di Turkiye, dengan penyertaan antara 11 hingga 36 peratus anggota wanita dalam keseluruhan misi berkenaan – BERNAMA



Source link