Malaysia Oversight

Panggilan video “rindu ayah” jadi kenangan terakhir sebelum kemalangan maut

By TheSun in August 25, 2025 – Reading time 1 minute
Panggilan video “rindu ayah” jadi kenangan terakhir sebelum kemalangan maut


KUANTAN: Anak perempuan kepada Sheikh Ali Sheikh Mustafa sempat membuat panggilan video bersama ayahnya sehari sebelum terlibat dalam kemalangan di Jalan Bahau-Keratong.

Sheikh Ali berkata menerusi panggilan video pada Sabtu, Allahyarham Siti Auni Syafiqa bersama adiknya meluahkan rasa rindu dan tidak sabar untuk pulang selepas menghadiri kenduri di Alor Gajah.

“Allahyarham ada cakap, ‘rindu ayah, tak sabar nak balik, nak peluk ayah’,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Bagi Sheikh Ali, kata-kata itu kini menjadi kenangan yang terpahat selama-lamanya mengingatkan beliau kepada wajah anak perempuannya itu.

Beliau menyatakan anaknya itu seorang yang kuat sejak kecil meskipun berdepan masalah jantung dan memerlukan rawatan berterusan.

“Dia selalu kuat, walaupun sejak umur empat tahun perlu berulang-alik ke Institut Jantung Negara untuk rawatan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, tiga terbunuh termasuk Siti Auni Syafiqa manakala empat lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas.

Kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menghadiri kenduri kahwin di Alor Gajah.

Sheikh Ali berkata Siti Adawiya Syauqina cedera parah di bahagian kepala dan muka manakala ibu mereka terselamat kerana menaiki kenderaan lain.

Jenazah Allahyarham Siti Auni Syafiqa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bunian selepas proses bedah siasat selesai. – Bernama



Source link