Malaysia Oversight

RAI2025: Ilham alam, desa jadi galeri seni [Bahagian 1]

By MkiniBM in August 25, 2025 – Reading time 10 minute
RAI2025: Ilham alam, desa jadi galeri seni [Bahagian 1]


ULASAN SENI | “Wah Rahmat, masyuk betul kau sekarang, siap anjur festival residensi seni di Pahang,” usik seorang teman lama saat kami bersua di Gema Ipoh International Art Festival (IIAF), hujung bulan lalu.

Kata teman berkenaan, ‘berita itu’ sampai ke telinganya melalui hantaran di media sosial dan catatan blog.

“Berapa ratus ribu (ringgit ) Madani bagi, Mat? Nampak gah betul festival tu, ramai artis antarabangsa ya,” tambahnya sambil tersenyum sinis.

Saya hanya membalas bahawa sewajarnya memang begitulah anggaran bagi acara sebesar itu. Namun, perlu saya jelaskan agar tidak timbul tanggapan seolah-olah saya mengaut laba – apatah lagi songlap dana – bagi menjayakan acara seni tersebut.

Kenapa Hulu Cheka?

Kira-kira dua jam pemanduan dari ibu kota, terbentanglah Mukim Hulu Cheka di Jerantut, Pahang. Ia merupakan desa asas tani yang mendakap Banjaran Gunung Benom, di sisi Taman Negara.

Ia bersempadan dengan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal. Hutan hujan tropika, sungai jernih, bebatuan air terjun, bunga pakma (Rafflesia) dan bukit-bukau berpadu dalam keindahan alam.

Awal Januari lalu saya diundang selaku kurator tamu oleh Persatuan Homestay Mukim Hulu Cheka. Ia adalah entiti berdaftar di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang menaungi pengusaha inap desa di lapan kampung.

1ec0cfe76535c6a825ee4456b1f49db9

Fokusnya ekopelancongan, seni, budaya dan ekonomi desa. Daripada kraftangan hingga jamuan durian organik warisan, Hulu Cheka memang sudah berdenyut dengan seni dan tradisi.

Bukan pertama kali seni bertandang ke situ. Sebelum ini sudah ada kem pelukis Festival Chekaism bersama anak sekolah (2024), Festival Inderacheka 2022 yang menayangkan filem dokumentari alam, budaya dan kearifan tempatan, Festival Mini Kebudayaan Kampung Som 2023, malah bacaan puisi Allahyarham Pyanhabib di Acara Temu Buku 2023 di Lang Buana Eco Park.

Mukim itu merupakan lubuk warisan. Pewaris artifak Pawang Nong – pengasas Kampung Ulu Cheka – membangunkan galeri budaya desa. Masjid berusia seabad di Kampung Baru dipulihara.

Di desa itu juga terletaknya bengkel pandai besi pengasas Seni Silat Parang Pahang, Pendekar Anjang Ghafar menempa ilhamnya.

64fa470f89e62795d2a9eaa00795cd63
Bengkel artis RAI2025 bersama kanak-kanak Kampung Som melalui inisiatif NGO I-Kreatif.

Di Kampung Som pula ada NGO I-Kreatif yang memfokus kepada pendidikan kanak-kanak melalui ekspresi ilmu, seni dan kreativiti.

Ia diterajui pendidik Marani Kesah.

Lembah Benom membawa kita menelusuri jejak kesenian kebangsaan pengukir legenda Orang Asli suku Jahut seperti Menteri Bani, Batin Hitam, Gaga Pandak, Puteh Debos dan Salleh Kahang.

Syukur masih ada pengarca Jah Hut yang meneruskan seni tradisi itu seperti Sham Boas dan Halim@Tunggum Pitong yang kami tampilkan pada pameran RAI2025.

72f27df29efcd96fcffcf0e84b8983a9
Gambar fail katalog pameran seni ukiran Jahut dan Mah Meri di Balai Seni Lukis Negara.

Di Kampung Damak dan Batu Balai pula ramai keturunan perantau yang membuka tanah sejak sebelum merdeka. Kebudayaan tradisi diserasikan dan mencair menjadi kebanggaan desa serta sebahagian kearifan tempatan.

Aktivis kebudayaan Hulu Cheka, Zulkifli Mahmud, menjadi penggerak utama dikir barat dan wau.

Pasukan Dikir Barat Damak menduduki tempat ketiga Pertandingan Dikir Barat Peringkat Zon Pantai Timur pada 2024.

Lebih membanggakan pasukan pelayang Persatuan Kebudayaan Kesenian Damak dalam penyertaan tahun kedua menjadi johan kebangsaan pertandingan wau bulan dan wau jala budi di Festival Layang Layang Dunia Pasir Gudang pada awal tahun ini (gambar bawah).

fc8490906b99321c5c61e895f8eb4701

Jelaslah sudah, kebudayaan masyarakat subur di Lembah Benom untuk menumbuhkan festival seni Residensi Artis Antarabangsa Inderacheka (RAI2025) yang berlangsung dari 19 Jun ke 5 Julai 2025 lalu, melibatkan 25 seniman dari 12 negara.

Erti sokongan GSSK

Kesilapan terbesar kami — saya sebagai kurator dan penganjur iaitu persatuan inap desa — meletakkan keyakinan penuh pada Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK). Penganjur merangka belanjawan RM150,000 untuk menjayakan RAI2025.

Secara rasmi, menurut garis panduan Motac, GSSK bertujuan menyokong penganjuran acara seni, budaya dan warisan. Dana maksimum RM300,000 setahun, tetapi hanya menampung sebahagian kos.

Penganjur RAI2025 menghantar permohonan seawal permulaan tahun ini, lengkap dengan dokumen perancangan, lokasi, pengesahan penyertaan artis, bajet terperinci dan komitmen laporan selepas acara.

938917bae592cf486f0054c37b4bbe2c
Instalasi dan karya cetak garapan kolektif Patani Art Space.

Di sinilah salah faham kami bermula. Kami sangkaklan geran tersebut akan menjadi tonggak utama pembiayaan.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, saya akui ini khilaf saya dan memohon maaf setulusnya kepada semua pihak yang terkesan oleh penganjuran RAI2025 tanpa dana mewah – terutamanya pasukan kuratorial, komuniti Hulu Cheka dan para artis yang datang untuk sama-sama berjuang atas nama seni kontemporari.

Apabila keputusan permohonan masih belum keluar sehingga acara bermula pada pertengahan Jun lalu, kami tiada pilihan selain menggerakkan acara dengan sumbangan, dana peribadi, komitmen luar biasa para seniman dan anggota masyarakat setempat.

Ketika saya merisik-risik soal GSSK, seorang teman – yang juga ‘orang dalam’ Madani – ada memberitahu: “GSSK tu maksudnya sokong saja. Kamu kena ada duit sendiri dulu, geran ni cuma untuk tambah-tambah kemudian. Macam mana kamu dan penganjur boleh terlalu yakin hantar undangan kepada artis sedang dana belum ada?”

9233dd2bac6c85710a7e54af4afc0215
 Lukisan konseptual karya Nicolas Jeanbourquin (Switzerland).

Jawapannya memang menggugah tapi lain realitinya mengatur festival. Contohnya jemputan kepada artis antarabangsa perlu dibuat sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.

Itu belum lagi isu pengesahan lokasi dan pelbagai tempahan lain.

Pada masa hadapan, saya harap keputusan permohonan GSSK dapat dimaklum sebelum acara bermula, manakala penganjur perlu diingatkan supaya tidak bergantung dengan dana semata-mata, sebaliknya perlu mencari sumber lain.

Penganjur perlu diberikan kefahaman jelas bahawa bantuan kerajaan itu sekadar ‘bonus’ sahaja.

225a244feebe607e4fdfd39a46e02d7f

Meskipun RAI2025 sudah berakhir, pihak penganjur persatuan inap desa masih tidak berputus asa merayu geran GSSK dengan harapan dapat membayar honorarium artis, kerja-kerja kuratorial dan sagu hati sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan festival tersebut.

Sebagai perbandingan, proses permohonan geran UNDP ada garis masa jelas dan libat urus yang teratur — bermula dengan pengumuman permohonan dan garis panduan, bengkel konsultasi untuk calon disenarai pendek, penyerahan penuh kertas cadangan projek, penilaian dalaman, konsultasi lanjut, diikuti pemuktamadan kertas cadangan, penganugerahan kontrak dan seterusnya pelaksanaan projek.

Bertahan tanpa dana penuh

Apapun RAI2025 tetap jalan terus. Banyak aturcara besar permintaan masyarakat setempat terpaksa dibatalkan, seperti pertandingan durian warisan organik Jerantut, apresiasi buku, tayangan wayang pacak filem U-Wei Shari dan Nasir Jani, pertandingan lanskap terbaik antara kampung, pertandingan kandungan digital alam sekitar untuk remaja desa, persembahan pentas dan majlis kenduri.

Pun begitu, semua seniman antarabangsa hadir dengan membayar sendiri tiket penerbangan pergi dan balik, pengangkutan darat, termasuk juga tren dari lapangan terbang ke stesen KL Sentral.

Seniman tempatan pula datang dengan belanja sendiri juga.

246c3df6f806947a206f93bbfb5bc875
Seni persembahan daripada Manish Lal Shrestha (Nepal).

Mujurlah Tourism Pahang menghulurkan bantuan RM30,000 pada saat akhir — dengan bajet masuk hanya lima hari sebelum majlis penutup pameran — yang sekurang-kurangnya meringankan kos penginapan, makan-minum dan pengangkutan setempat bagi 28 artis undangan yang ditanggung penganjur serta pasukan kuratorial.

Syukur, para pengendali inap desa tidaklah menanggung kerugian besar.

Pasukan kuratorial kecil tapi teguh tanpa apa-apa bayaran. Saya bersama Hanif Shah, Muhdraimi Rahim (graduan Seni Halus UiTM), Nor Azman Mohd Nor (Zemang, pereka grafik), serta bantuan kurator tamu untuk acara seni persembahan dari Singapore Sculptor Society, Jeremy Hiah dan Francis Poon.

Kami amat menghargai kehadiran kurator bersama, pasukan Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) yang datang dari Pulau Pinang demi memastikan pameran akhir RAI2025 pada 3, 4, 5, dan 6 Julai di Dewan Ulu Cheka berlangsung megah walau sederhana.

2261d573624ae542f6765fd799506a32
Bengkel wayang kulit Kosala Kumara bersama kanak-kanak I-Kreatif.

Ketika saya dan beberapa teman penganjur mengeluh kerugian wang ringgit, masa dan tenaga, sebenarnya tanpa sedar kami sedang meraih sesuatu yang jauh lebih berharga — RAI2025 menjadi karya seni kerakyatan.

Ia lahir bukan daripada perancangan rapi birokrasi atau belanja ratusan ribu ringgit, tetapi dari hati yang tulus dan aturan keserasian semesta yang entah dari mana hadir membantu mempertaut, menyelaraskan lalu meneruskan perjalanan acara walau segetir manapun cabarannya menjadi lancar.

“Macam Man Laksa,” kata Prof Madya Hasnul Jamal Saidon, merujuk filem arahan Mamat Khalid mengenai cabaran penganjuran temasya amal di sebuah kampung.

Semangat gotong-royong penduduk

Tokoh seni media baru tanah air dan pensyarah media seni selama lebih 30 tahun itu ikut hadir sebagai peserta program residensi kami menyifatkan RAI2025 sebagai “organik.”

“Mungkin ia community-based tourism (pelancongan berasaskan komuniti) kerana melancong dan melencong ke acara makan durian Hulu Cheka itu antara sub-plotnya.

1cb388385e47b544c08357a758480689
Hasnul J Saidon bersama remaja dan kanak-kanak yang menyertai bengkel seni kendaliannya.

“RAI Inderacheka ada personaliti dan karektor tersendiri, tak dibuat-buat atau dilakon-lakon atau diada-ada untuk mengada-ngada,” tulis Hasnul dalam renungannya mengenai festival ini.

“Ya, ini acara seni kontemporari antarabangsa. Bukan di kota raya, tapi di Hulu Cheka. Ulu, dekat kepala sungai atau ‘nadi’ bumi. Juga bersempadan dengan Taman Negara. Itu nafasnya.

“Ini seni kontemporari di kampung dianjur oleh orang kampung. Ini bukan penganjuran institusi seni visual di kota ya, baik skala negeri atau negara.

“Maka mungkin perlu digelar kampung-terary art Hulu Cheka,” rumusnya.

cb7ce719871af52bd39620d215b0ff2b
Seni persembahan Manish Lal Shrestha (Nepal).

Terserlah semangat seni sebenar yang merentas desa, daerah, negeri, negara, malah benua. Solidariti artis yang hadir bukan kerana undangan mewah atau ganjaran besar, tetapi kerana keyakinan, kasih dan rasa percaya pada karya yang sedang dibina bersama serta komuniti yang menyambut mereka dengan tangan terbuka.

Begitulah ungkapan seniman dari Nepal, Manish L Shresta, yang berpengalaman lebih dua dekad mengendalikan galeri dan program residensi artis antarabangsa di Kathmandu mengenai RAI2025.

“Syukur dapat menjadi sebahagian daripada RAI 2025 di Hulu Cheka, Pahang yang indah. Dari projek komuniti hingga ke pembukaan pameran kami di Dewan Komuniti — ia merupakan perjalanan yang tidak terlupakan.

“Ia dipenuhi dengan kreativiti, hubungan dan sambutan yang paling hangat,” katanya yang berkunjung ke Malaysia bersama isterinya Nistha L Shresta.

559adeb76d895032d6b3f3a166a0a658
Manish Lal Shrestha (Nepal) tengah bersama isterinya Nistha dan kurator tamu RAI Jeremy Hiah (Singapura) menerima cenderahati daripada hos.

RAI2025 tidak akan menjadi kenyataan tanpa pengarah festival Penghulu Mukim Hulu Cheka, Khairul Akma Yusof yang menjadi tonggak utama walaupun terbeban dengan pelbagai tugasan rasmi.

Seorang birokrat pentadbiran yang cakna budaya, Khairul sedar kesenian boleh menjadi pemangkin kemapanan ekonomi desa serta pelindung khazanah warisan alam sekitar setempat.

Begitu juga, penyelaras program RAI2025 merangkap Pengerusi Persatuan Homestay Hulu Cheka, Rozana Mat Idris seorang ibu, suri rumah, usahawan kuih-muih dan tenaga pengajar kolej komuniti.

Kita dapat bayangkan betapa besar pengorbanan Rozana antara menguruskan keluarga, perniagaan dan tugas selaku pendidik demi memastikan kelancaran acara. Mujurlah suaminya Tengku Ahmad Shah Tengku Ismail dan anak-anak mereka turut sama membantu.

e04e769b123cb0f99a324f16a8725a02
Penghulu Khairul Akma Yusof memimpin perarakan artis RAI2025 bersama hos inap desa pada majlis penutupan.

RAI2025 menyaksikan semangat gotong-royong penduduk lapan buah kampung yang diterajui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), inisiatif desa seperti kumpulan alam sekitar Kelab Kembara Sungai Rengat dan Persatuan Pemandu Pelancong Ulu Cheka (Parmuc), Galeri Pawang Nong, NGO I-Kreatif Kampung Som, PIBG sekolah dan sumbangan dana peribadi Pahang, Haris Salleh Hamzah.

Di sebalik persembahan, bengkel seni dan pameran, ada beban logistik yang besar — penginapan, pengangkutan setempat, penyelarasan jadual, malah hal-hal remeh seperti mencari extension cord, speaker, projektor, skrin atau menampung kos makan artis dan sukarelawan di luar inap desa. Mujurlah ada semangat tolong-menolong ini.

Perlu juga disebut nama-nama mereka yang muncul menjayakan festival tanpa diajak lalu berbesar hati menjadi sukarelawan, meraikan dan melibatkan para seniman dengan pelbagai kegiatan desa, termasuk jamuan keraian daripada poket mereka sendiri, terutamanya: JPKK Kampung Baru Damak, dengan penyelarasan terbaik daripada Chong Yee Kwan, tok empat KC Lim, Loh Jet Lan dan Salleh Sibon.

5b6d59cb934f5ec4b7dfa399310d3269

Para aktivis alam sekitar Kelab Kembara Sungai Rengat; Mohd Nazirul Akram Jaafar, Hanis Irfan Sapeni, Saiful Anuar Osman, Yusoff Salamon, Hazri Hamzi dan Aidil Ahmad Tahar Abdul Latif.

Penggerak kebudayaan Orang Asli Osman Raman yang membuka ruang RAI2025 untuk mempamerkan karya pengukir Jah Hut. Aktivis Kampung Damak yang gigih – Hayudin Che Husin, Ahmad Mustofar dan Rosli Mustafar.

Penduduk Kampung Ulu Cheka, imam masjid merangkap pengerusi JPKK Ahmad Shah Jamlus serta Pengarah Galeri Pawang Nong, Nazri Che Husin dan penggerak masyarakat Wa Din yang menjayakan pameran akhir di dewan orang ramai.

RAI2025 juga tidak akan melupakan sambutan penuh warna-warni daripada pemimpin belia Orang Asli Suku Jahut, Ahmad Faroq Fauzi yang dengan penuh lapang hati meluangkan masa dan tenaga menyambut kedatangan para seniman ke desa mereka.

80ed1025532b241e66aa2ed0e7c9a911
Ahmad Faroq Fauzi (tengah) bersama artis Singapura Chua Soo Bin dan Zhou Bin dari .

Momen sewang yang bergema di balai mereka itu bukan sekadar persembahan, tetapi upacara jiwa yang mematri hubungan antara tetamu dan tuan rumah, antara seni dan tanah, antara masa kini dan warisan.

Banyak lagi nama yang tidak dapat saya sebutkan di sini kerana akan memakan banyak ruang, semoga tuhan sajalah membalas budi kalian.

Memetik kata-kata artis RAI2025 dari Filipina, Rommel ‘Metz’ Espinosa: “Pertukaran budaya ini merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan, penuh dengan idea-idea hebat dan kolaborasi seni yang menginspirasikan.”

“Terima kasih banyak atas jemputan ini. Saya juga ingin meluahkan penghargaan yang mendalam kepada semua sukarelawan — dedikasi dan kerja keras anda sungguh luar biasa.

90819269207891c80410fefed5417850
Persembahan gerak lukis daripada Rommel ‘Metz’ Espinosa.

“Dan kepada seluruh komuniti, terima kasih atas sokongan anda yang menakjubkan.

“Akhir sekali, terima kasih kepada semua seniman dari pelbagai negara — sungguh ia satu keseronokan dapat bertemu dan berkarya bersama anda semua,” tulisnya.

Hal sama diungkapkan masyarakat setempat dengan Mariani Kesah, peneraju NGO pendidikan kreatif menganggap program komuniti bersama artis RAI2025 begitu “bermakna dan penuh pengisian.”

“Segala jasa anda akan sentiasa terpahat dan dihargai dalam membentuk kanak-kanak hari ini, belia kami pada masa hadapan.

2ae13d7663aefcc2ce014c0b46be6405

“Kesudian anda berkongsi ilmu dengan anak-anak i-Kreatif telah meninggalkan kenangan indah yang akan kami hargai selamanya,” katanya.

Dia merujuk bengkel kendalian artis bersama kanak-kanak di Kampung Som, khususnya Kosala Priyam Kumara (Sri Lanka), Manish Lal Shresta & Nistha Rai (Nepal), Nicolas Jeanbourquin (Switzerland), Metz Espinosa (Philippines) dan kolektif Patani Art Space (Thailand).

Barangkali, inilah denyut nadi seni kontemporari dunia — sebuah medan yang lahir selepas gelombang modenisme – membebaskan seniman daripada belenggu medium tunggal dan memberi ruang untuk eksperimen merentas disiplin, budaya dan geografi.

Dalam bahasa lain, RAI2025 seni yang melepasi estetika, menjelma sebagai ruang kemasyarakatan yang dinamik.

8b8185f19834e8cc289016c8fdb4959e

Ia wahana solidariti lintas budaya, cerminan kesedaran ekologi dan juga medium terapi jiwa yang menghubungkan manusia sesama manusia, orang dengan alam bahkan dengan dirinya sendiri.

[Bersambung esok: ULASAN | Duri di balik ria RAI2025 di Pahang – Bahagian 2]


RAHMAT HARON ialah seorang penulis, penyair, seniman visual dan performans.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





Source link