Malaysia Oversight

Marsyal konvoi motosikal jangan atasi kuasa polis kawal trafik

By Utusan in August 24, 2025 – Reading time 2 minute
Marsyal konvoi motosikal jangan atasi kuasa polis kawal trafik


TAIPING: Marsyal  program konvoi bermotorsikal perlu lebih bertanggungjawab dalam memenuhi hobi mereka, termasuk aspek keselamatan para peserta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penganjur juga perlu tahu bahawa marsyal atau penyelia acara tidak boleh mengatasi peranan polis untuk mengawal aliran trafik termasuk menyekat kenderaan lain di simpang lampu isyarat jalan raya.

Beliau tidak melihat aktiviti konvoi sebagai satu masalah, tetapi mahu penganjur memainkan peranan yang lebih besar termasuk memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Konvoi ini satu bentuk hobi. Kita patut pupuk dan berikan galakan Tetapi hobi tetap ada garis merah yang perlu dipatuhi. Jangan sampai timbulkan masalah kepada pengguna jalan raya lain, apalagi yang melibatkan nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis peluncuran Kampung Temerlok, Trong sebagai Kampung Angkat Madani Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di sini hari ini.

Penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu bermula kelmarin mendapat perhatian negara apabila lagi berlaku kemalangan melibatkan peserta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ibrahim malah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 sebagai menyuntik semangat penganjuran aktiviti sukan permotoran yang memberi impak ekonomi.

Saifuddin mengharapkan penganjur mengadakan taklimat kepada peserta mengenai pematuhan had laju, jarak pemanduan yang selamat dan tidak menjadikan jalan raya sebagai trek lumba.

Tambahnya, memberikan senarai nama peserta kepada pihak polis juga penting untuk memastikan mereka yang terlibat mempunyai lesen kenderaan sah selain mendapatkan khidmat nasihat polis tentang pengendalian konvoi.

“Mana-mana penganjur, mesti faham bahawa sudah ada peraturan umpamanya apakah tugasan seorang marsyal. Marsyal tidak ada autoriti untuk mengawal aliran trafik. Tanggungjawab dia sekadar memastikan peserta konvoi mengikut disiplin,” katanya. – UTUSAN





Source link