KANGAR: Kontinjen Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah muncul juara keseluruhan bagi Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-65 tahun yang berakhir hari ini.
Selepas lima hari kejohanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, Sabah yang juga juara MSSM tahun lalu, meraih 19 pingat emas, 22 perak dan 17 gangsa sekali gus menjadikan keseluruhan sebanyak 58 pingat.
Tempat kedua menjadi milik kontinjen Selangor yang memperoleh 18 pingat emas, 14 perak dan 15 gangsa manakala Terengganu di kedudukan ketiga dengan meraih sembilan pingat emas, dua perak dan enam gangsa.
Dalam pada itu, raja pecut cilik bawah 12 tahun dari Selangor, Aidil Sazwan Saidi dan ratu pecut Terengganu bawah 18 tahun iaitu Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati kejohanan itu.
Anugerah tersebut disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan, Datuk Wan Hashim Wan Rahim dalam majlis penutupan kejohanan itu.

Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 kali ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Penyelaras Sukan Olahraga MSS Sabah, Azriansyah Ahmad berkata, kontijen negeri tidak berjaya mencapai sasaran 20 pingat emas namun mereka tetap berbangga apabila meraih gelaran juara keseluruhan pada MSSM kali ini.
“Pencapaian terbaik kita adalah pada tahun 2024 dengan 23 pingat emas dan tahun ini kita berjaya meraih 19 emas. Kita bersaing dengan negeri-negeri lain yang dilihat turut mempunyai potensi dan pendekatan pembangunan sukan yang baik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Azriansyah berkata, biarpun ada di antara pingat yang disasarkan kontinjen Sabah tidak dapat dicapai pada temasya kali ini, namun terdapat beberapa acara sukan lain yang berjaya menyumbang pingat buat pasukan berkenaan.

Katanya, kontinjen Sabah tahun ini turut memberi fokus pada acara padang bagi menyumbang pingat buat pasukan mereka.
“Dalam kejohanan kali ini, kita mensasarkan lompat kijang untuk emas namun atlet kita ada yang cedera, namun Alhamdulillah, kita masih dapat menang dalam acara lain seperti 4×400 lelaki bawah 18 tahun,” katanya.-UTUSAN