Warisan menegaskan bahawa parti itu akan tetap bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Penegasan itu dibuat susulan kenyataan ketua whip PN, Takiyuddin Hassan, yang tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan Warisan pada PRN tersebut.
“Tiada rundingan, perbincangan atau rancangan kerjasama dengan PN, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) mahupun mana-mana gabungan politik lain mengenai kerjasama pilihan raya,” kata ketua penerangan Warisan, Azis Jamman, dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Takiyuddin dipetik Sinar Harian sebagai berkata, kerjasama antara PN dan Warisan tidak mustahil dalam landskap politik semasa.
“PN akan bertanding atas tiket gabungan. Kita tidak akan bergerak secara solo kerana parti yang bertanding sendirian sudah tidak relevan. Sebab itu, kita lihat parti-parti kecil turut menyertai gabungan.
‘Tiada perikatan pintu belakang’
Mengulas lanjut, Azis menegaskan bahawa Warisan tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan gabungan lain berhubung kerjasama politik.
Dia berkata sebarang dakwaan mengenai wujudnya ‘perikatan pintu belakang’ adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Warisan.
Azis turut menjelaskan, satu-satunya pakatan yang dimeterai Warisan ketika ini adalah bersama rakyat Sabah.
“Fokus kami adalah untuk menangani cabaran mendesak dihadapi rakyat Sabah, termasuk peningkatan kos sara hidup, kekurangan infrastruktur, bekalan elektrik, dan air yang sering terputus, peluang pekerjaan terhad, dan tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 yang telah lama tertunggak,” katanya.