Sebuah NGO menganggap penganjuran pesta makanan tiga hari bertema “solidariti” di Dataran Merdeka hujung minggu ini sebagai menjijikkan, tidak peka dan menuntut agar penganjur segera memohon maaf serta membatalkannya.
Gerakan Gabungan Anti-Imperialis (Gegar) berkata pesta makanan itu kelihatan sebagai jalan mudah bagi opportunis mengeksploitasi dan meraih keuntungan daripada penderitaan rakyat Palestin, walaupun penganjur atau peniaga mungkin tidak berniat demikian.
“Betapa tidak pekanya anda? Sedang kita berbicara, rakyat Palestin sedang kebuluran dalam pembunuhan beramai-ramai; kebanyakan mereka telah sampai ke tahap kebuluran mutlak akibat sekatan haram Israel ke atas Gaza. Ramai telah mati.
“Menurut penganjur, hanya lima peratus hasil jualan akan disalurkan kepada Malaysia Cinta Gaza. Ini bermakna jika keuntungan RM10,000 diperoleh, hanya RM500 diberikan kepada Cinta Gaza.

“RM500 ini hanyalah tahap kutipan yang boleh dilakukan oleh kumpulan kecil atau individu, tanpa perlu mengambil untung daripada penderitaan Palestin,” kata kumpulan itu kepada Malaysiakini pada kenyataan hari ini.
Dengan kebuluran besar-besaran yang dikuatkuasakan Israel sedang berlaku, kumpulan itu berkata bahkan rakyat Palestin sendiri meminta supaya orang ramai berfikir dahulu sebelum menyiarkan gambar makanan dalam talian.
Selain itu, Gegar menyifatkan acara itu sebagai “komersialisasi jijik” terhadap krisis kemanusiaan Gaza, dan menegaskan penganjur harus segera memohon maaf serta membatalkannya.
Sebaliknya, kata Gegar, rakyat Malaysia wajar menyalurkan sumbangan terus kepada badan amal dan organisasi yang benar-benar membantu Gaza.

“Kepada rakyat Malaysia, kami menggesa anda mempertimbangkan untuk menyumbang dengan murah hati secara langsung kepada Cinta Gaza atau badan bantuan lain seperti Viva Palestina Malaysia, MyCare, The Sameer Project, atau terus kepada rakyat Palestin di Palestin dan di Malaysia yang memerlukan bantuan.”
NGO itu turut menggalakkan rakyat Malaysia meneruskan boikot terhadap entiti dalam negara yang bersekongkol dengan pembunuhan beramai-ramai, tetapi masih beroperasi tanpa sebarang tindakan.
“Sertai dan anjurkan protes, mogok dan tindakan langsung. Palestin menyeru kita semua untuk turun ke jalan, menyuarakan bantahan dan menggugat, biarpun dengan risiko terhadap mata pencarian, keselamatan, dan nyawa kita.”
Sebuah video promosi pesta makanan itu berlegar di media sosial malam tadi. Ia muncul selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Integrated Food Security Phase Classification mengisytiharkan Gaza dan bandar sekitarnya kini sedang mengalami kebuluran Tahap 5 semalam.

Festival makanan “Malaysiaku Bersama Gaza” itu dianjurkan oleh Love Food Festival bersempena Karnival Sumud Nusantara, iaitu karnival tiga hari anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Cinta Gaza Malaysia.
Difahamkan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi penaung acara ini dan Karnival Sumud Nusantara.
Acara tiga hari dari 22 hingga 24 Ogos itu turut disokong Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa.
Selain pesta makanan dan program realiti maya (VR), acara itu juga menampilkan aktiviti lain termasuk bacaan Qunut Nazilah, persembahan qasidah khas, serta simbolik pelepasan delegasi Sumud Nusantara untuk menyertai Gaza Flotilla.

Kemuncak acara “Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza” akan berlangsung esok di Dataran Merdeka dan akan dihadiri Anwar.
Mapim ketika dihubungi memaklumkan kepada Malaysiakini pihaknya akan mengeluarkan kenyataan susulan rasa tidak puas hati orang ramai berhubung promosi pesta makanan tersebut.
Pejuang: Ada cara lagi baik
Sementara itu, pemimpin Pejuang, Rafique Rashid Ali (gambar bawah) berkata penganjur karnival seakan tidak memahami isu utama acara itu, yang disifatkannya sebagai amat tidak sensitif dan tidak peka.

“Gaza sedang kebuluran; tiada makanan, tiada air bersih, tiada hospital, tiada apa-apa. Penganjur mungkin berniat baik, tetapi senarai penaja atau rakan penganjur sebenarnya boleh melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat.
“Kerajaan sepatutnya membantu Gaza dengan menghantar bantuan, sama ada kewangan atau tenaga kerja sokongan, serta meningkatkan kesedaran (tentang apa yang berlaku di Gaza) di sekolah dengan menganjurkan debat rentas negara atau persidangan pemimpin dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafique berkata sekarang Gaza memerlukan sokongan dunia untuk mendesak Israel menghentikan serangan dan ia tidak mungkin dicapai dengan pesta makanan.
Katanya, rakyat Malaysia sedar akan keperluan satu pasukan pengaman, terdiri daripada tentera dunia, bagi menghentikan pembunuhan, tetapi usaha itu mungkin digagalkan oleh kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB.
“Tetapi apakah pilihan yang kita ada? Kita tidak akan tahu selagi kita tidak mengemukakan resolusi itu.
“Ada cara yang lebih baik untuk menunjukkan solidariti terhadap penderitaan Gaza, dan pesta makanan jelas sekali satu tindakan yang sangat tidak kena tempat,” katanya.