LAPORAN KHAS | Hasrat kerajaan membendung rasuah di pintu sempadan dengan memperluas sistem pagar automatik atau autogate dirundung kekangan susulan ‘kelompongan’ sistem itu sendiri.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata pendekatan itu diharap mengurangkan kebergantungan terhadap budi bicara pegawai imigresen melalui sistem manual.
Bagaimanapun, beberapa sumber memberitahu Malaysiakini, usaha kerajaan untuk membanteras sindiket berkaitan keluar-masuk warga asing, khususnya melalui counter settings, mewujudkan sindiket baru menggunakan autogate.
Sindiket counter-setting bermaksud meloloskan individu melalui kaunter pemeriksaan tanpa mengikut prosedur sepatutnya, khususnya pendatang tanpa dokumen di Malaysia.
Difahamkan sindiket baru ini melibatkan warga asing daripada negara-negara yang menikmati pengecualian visa, seperti China, yang menggunakan kelompongan sistem untuk menetap lebih masa tanpa perlu ke luar negara terlebih dahulu.
Bagaimanapun, seperti penggunaan autogate, satu sumber Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dari ibu pejabat di Putrajaya bergurau bahawa sindiket baru itu juga masih dalam tempoh percubaan.
“Masih kebanyakan ejen dan pegawai bersubahat menggunakan sindiket counter settings untuk cari makan.
“Ramai tidak menggunakan sindiket autogate ini kerana sindiket ini hanya boleh diguna pakai bagi pelawat dari negara pengecualian visa.
“Ia baru popular di kalangan ejen khususnya yang membawa masuk warga China dan pelawat dari negara-negara Afrika yang kini menggunakan autogate untuk keluar-masuk negara kita,” katanya.
Dalam sindiket baru ini, pengembara yang menikmati tempoh lawatan 30 hari tanpa visa, tidak lagi pergi ke luar negara sebelum masuk balik untuk mendapatkan tambahan masa lagi 30 hari.
Mereka sebaliknya hanya perlu melalui mesin autogate dan mengimbas pasport di balai pelepasan.
“Maka, dalam sistem negara, dia dikira sebagai telah keluar dari negara,” katanya.
Selepas itu, katanya lagi, warga asing terlibat akan pergi ke balai pelepasan, menunggu di sana antara dua ke tiga jam sebelum masuk semula.
“Dari terminal pelepasan dia ke turun ke balai ketibaan dan terus ke kaunter autogate.
“Selepas mengimbas pasport, dalam sistem negara Malaysia menunjukkan dia baru masuk negara selepas ke luar negara dan akan mendapat tempoh 30 hari lagi,” katanya.

Sebelum ini, katanya, pengembara biasanya keluar ke negara terdekat seperti Singapura, Thailand atau Indonesia pada hari ke-28 atau ke-29 dan masuk kembali ke sini.
Kerajaan dilapor mahu melaksanakan sistem pagar automatik secara besar-besaran di semua pintu masuk negara bagi memperkukuh kawalan sempadan serta memerangi pelbagai sindiket keluar-masuk ke negara ini.
Saifuddin mengumumkan sebanyak 635 unit pagar automatik akan dipasang di 123 pintu masuk bawah pengurusan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Terdapat 63 negara mendapat kelebihan pelepasan visa 30 hari, dengan China menjadi negara terbaru pada tahun lalu.
‘Duit masuk, autogate buka’
Sementara itu, ditanya kenapa perkara itu dianggap sindiket sedangkan ia lebih kepada kelemahan sistem, satu sumber Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) hanya menjawab ringkas.
“Duit masuk, autogate buka.”
Katanya, pegawai AKPS yang ditugaskan memantau pagar automatik yang bersubahat akan “buat-buat tak nampak” apa yang berlaku di situ.
Lagi pun, katanya, di pintu sempadan yang amat sesak seperti lapangan terbang KLIA dan KLIA2 di Sepang, orang terlalu ramai, sekali gus menyukarkan pengecaman.
“Sejujurnya, kerajaan hari ini memang berusaha keras untuk membanteras sindiket-sindiket ini. Itu kita tidak boleh pertikaikan.
“Masalahnya, ejen dan pegawai tamak akan tetap mencari jalan baru untuk meneruskan sindiket untuk membenarkan warga asing masuk ke negara secara haram,” katanya.
Dia juga mendakwa biasanya pagar automatik dipantau oleh “pegawai bermasalah”.
“Cop (sempadan mereka) ditarik. Tiada cop, tiada duit.
“Jadi, pegawai sendiri akan setting (bersuhabat) dengan ejen waktu dia bertugas.”
Satu pasport ramai lalu
Memperincikan kes di KLIA, sumber dari Terminal 1 berkata terdapat penyalahgunaan pagar automatik apabila lebih seorang pengembara dari luar negara melintasinya hanya menggunakan satu pasport.
Sistem itu, dakwanya, setakat ini tidak dapat mengesan dan penggera hanya akan diam jika perkara itu berlaku.

Malah, kadang-kadang, katanya, ejen akan menggunakan pasport mereka sendiri.
“Di sana, ejen warga Malaysia itu mengimbas pasport dia dan selepas selesai proses pengecam muka, pintu autogate akan buka.
“Dan dia membawa masuk ke semua warga asing itu melepasi autogate kerana pintu hanya tutup selepas semua orang melepasinya.
“Ini bukan cerita rekaan. Ada bukti kukuh. Cuma belum ada tindakan kerana, seperti biasa, pegawai ambil duit dan tutup mata,” katanya.
Tambahnya, tujuan dia membongkarkan isu-isu ini bukan untuk memalukan kerajaan atau AKPS, tetapi membawa perkara-perkara seperti ini ke perhatian pihak atasan.
Macam Touch ‘n Go
Di Johor pula, dakwa sumber JIM, perkara itu berlaku di kompleks imigresen, kastam dan kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.
Berbeza dengan KLIA, pengembara di sana tidak perlu membeli tiket penerbangan.

“Mereka naik kenderaan termasuk bas ke KSAB. Sebelum imigresen, mereka akan turun gunakan laluan pejalan kaki supaya boleh guna autogate.
“Kemudian, naik semula kenderaan yang bawa mereka itu. Dan buat pusingan U, sebelum sampai di pusat pemeriksaan Singapura.
“Seumpama, kita masuk plaza tol. Menggunakan pasport seperti kita gunakan kad Touch ‘n Go.
“Bayangkan macam mana kita masuk dan keluar plaza tol. Imbas kad Touch ‘n Go. Lepas kita keluar plaza tol, kita boleh sahaja masuk semula plaza tol yang sama,”katanya.
Tambahnya, di BSI pula lebih mudah.
“Lepas menggunakan autogate, mereka jalan menuju ke Singapura tetapi kemudian patah balik ke Malaysia, juga menggunakan autogate.
“Jalan kaki pun, tak sampai pun ke tengah Causeway (Tambak Johor). Kemudian patah balik,” katanya.
Mana kamera badan?
Sementara itu, sumber AKPS juga memberitahu bahawa pegawai yang bertugas di KLIA masih tidak diwajibkan menggunakan kamera badan.
“Walaupun menteri telah memberi arahan kepada pegawai yang bertugas di KLIA untuk menggunakan kamera badan, tetapi pegawai-pegawai ini masih berkeras untuk tidak memakainya,” kata sumber.
Katanya, kamera yang diagihkan masih disimpan di pejabat imigresen KLIA.
Sebelum ini, Saifuddin berkata sebanyak 600 unit kamera badan disediakan kepada pegawai imigresen dalam usaha meningkatkan integriti agensi itu.
Selain sindiket itu, Malaysiakini telah mendedahkan beberapa lagi sindiket di pintu sempadan seperti fly (penipuan cop keluar masuk), counter setting dan pengembara hantu (keluar negara tanpa rekod).
Malaysiakini telah menghubungi AKPS dan masih menunggu penjelasan agensi itu.