Malaysia Oversight

Menanti sinar menelan kabus di Bihar

By MkiniBM in August 22, 2025 – Reading time 3 minute
Menanti sinar menelan kabus di Bihar


ULASAN SUKAN | Selama mana lagi kita perlu menunggu skuad hoki negara akan bangkit semula mencari formula kemenangan?

Ada yang menyebut, barisan Speedy Tigers kita itu sekadar laju saja, tetapi kurang menggigit.

Apa yang cuba disampaikan di sini ialah, setakat ini kita melihat reaksi pemain negara masih hambar dalam kawasan D pihak lawan.

Rasanya semua pemain negara sedar akan hakikat itu tetapi masih buntu mencari jawapan yang lama tertangguh.

Kira-kira seminggu lagi skuad negara akan berdepan satu lagi ujian besar iaitu kejohanan Piala Asia di Bihar, India. Kejohanan itu dijadual bermula pada 29 Ogos ini.

Ia juga menjadi pentas untuk layak secara automatik ke Piala Dunia 2026. Pasukan bergelar juara akan menempah tiket berharga itu ke pusingan akhir di Belanda, Belgium yang menjadi tuan rumah bersama.

Pasukan kedua sehingga kelima pula akan beraksi dalam satu pusingan kelayakan pada Feb tahun depan.

Apakah sesuatu yang baru bakal disaksikan daripada anak didik Sarjit Singh sentiasa dihimpit cabaran amat besar sejak lebih setahun lalu?

Menunggu jelmaan bertaring

Namun, ketua jurulatih berusia 63 tahun itu tetap bernada positif apabila baru-baru ini menyuarakan sasaran mereka untuk layak ke final di Bihar. Harap kata-kata itu dapat menyuntik inspirasi baru kepada pasukan.

Memang misi itu nampak tidak mustahil andai berpandukan kepada status kita selaku pasukan ranking ke-12 dunia dan kedua di Asia.

Tambahan pula kejohanan kali ini tidak melibatkan Pakistan yang sudah menarik diri lebih awal gara-gara krisis politik dengan India. Justeru peluang kita ke perlawanan akhir boleh ditakrif sebagai cerah.

India sebagai pasukan tuan rumah dan kini berada pada kedudukan kelapan dunia – dan nombor satu di Asia – adalah pilihan. Bahkan mereka disebut-sebut menjadi penghalang terbesar impian kita.

Dari segi kepantasan – seperti disebut di atas tadi – memang skuad kita adalah antara yang terbaik di pentas antarabangsa. Dengan kelebihan itu, kita kena belajar bagaimana mahu menterjemahkan kekuatan yang ada kepada gerakan mencipta jaringan.

04ce2406d6e89931cf4ef434199179cc

Peminat tegar hoki masih kempunan mahu melihat watak penyerang serba laju seperti Poon Fook Loke, Nor Saiful Zaini dan Minarwan Nawawi menjelma semula bagi menajamkan taring pasukan.

Mereka adalah kelompok tersendiri yang banyak menyumbang jaringan serta melakar kebanggaan pada era masing-masing. Harapan kita ialah, sifat sama akan kuat melekat pada barisan penggempur semasa negara.

Begitu juga kekuatan kita dalam aspek pukulan sudut penalti.

Sebelum ini kita ada pakar seperti S Kuhan, Foo Keat Seong atau K Embaraj, sebagai penggegar gawang yang sentiasa digeruni lawan. Kini kelebihan itu nampaknya menyusut perlahan-lahan.

Justeru janganlah ia biarkan terus memburuk.

Mungkin mudah untuk kita bercakap apa saja. Tapi perlu diingat – pada saat ini adalah sukar mahu mengubah sesuatu secara pantas.

Tak harus disia-siakan

Ia sudah menjadi kebiasaan dan kita hanya mampu membuat pembetulan kecil yang efektif pada cara dan gaya permainan masing-masing.

Yang penting, pemain harus berikhtiar kerana tiada yang mustahil dicapai jika ada semangat dan keyakinan diri. Usah mudah luntur dek cabaran lawan.

Skuad negara kita sebenarnya bukanlah seburuk mana.

Setiap pemain negara dilihat rajin dan sanggup bermain mati-matian pada setiap kejohanan di pentas antarabangsa. Kekurangan pasukan negara ialah karekter dan tindakan membuat keputusan pantas dalam kawasan D.

Penjaga gol, Hafizuddin Othman; ketua pasukan, Marhan Jalil; serta Shellow Silverius dan Fitri Shaari boleh dianggap terbaik di benua ini. Berbekalkan pengalaman, mereka boleh sesuatu yang lebih baik.

Ingat, kita masih berada dalam ranking kedua Asia. Ini satu kelebihan dan tidak harus disia-siakan.

da80975e767ebee93164c84938ab1cae

Setiap pemain wajar sedar segera dan bertindak pantas memperbaiki prestasi masing-masing. Lagi pun, masa tidak banyak memihak pasukan negara.

Biar kita cuba bersama-sama menamatkan kemarau skuad hoki negara di Bihar. Pertama, kita perlu belajar menewaskan pasukan yang berada di ranking bawah.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan (ranking 13 dunia), Bangladesh (29) dan Taiwan (38), manakala Kumpulan A membabitkan tuan rumah, India (8), Jepun (18), (22) dan Kazakhstan (81).

Skuad negara membuka tirai perlawanan menentang Bangladesh pada 29 Ogos sebelum bertembung Korea Selatan pada 30 Ogos dan Taiwan pada 1 Sept.

Rumusan terbaik di sini adalah kata-kata semangat dihujahkan oleh Sarjit mahu mengemudi anak didiknya layak ke final di Bihar. Ia merupakan tonik amat diperlukan pada saat ini.

Selamat berjaya Speedy Tigers.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link