Muda mendakwa Umno dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi memang tidak tahan menerima kritikan termasuk yang datang daripada orang ramai selepas mereka meminta penjelasan mengenai isu tertentu.
Ketua Penerangan Muda, Syahmie Fayyadh Jaafar, juga mendakwa Umno akan berselindung di sebalik surat undang-undang apabila terus didesak berbanding menanganinya dengan fakta atau mengadakan perbahasan.
Kenyataan itu dibuat Muda sebagai menjawab kenyataan Umno Bahagian Subang yang mendakwa Muda hilang hala tuju dan digunakan sebagai alat politik oleh ‘tangan-tangan ghaib’.
Ketua Umno Subang, Armand Azha Abu Hanifah, berpendapat Muda sepatutnya menumpukan perhatian mereka kepada isu-isu penting lebih dekat dengan generasi muda, bukannya bermain sesuatu isu yang telah diselesaikan melalui proses undang-undang.
Kata Syahmie pad realitinya Umno dan Ahmad Zahid tidak tahan dengan kritikan dan mereka mahu orang ramai melupakan bagaimana 47 pertuduhan rasuah – yang melibatkan pemimpun parti terbabit – muncul.
“Apa yang Armand cuba lakukan ialah menjadi peguam tak bertauliah untuk Ahmad Zahid.
“Malangnya, tidak semua orang dalam Umno boleh membezakan antara ‘bukti tidak mencukupi’ dan ‘pembebasan penuh, atau sebenarnya mungkin mereka tahu tetapi mereka (memilih) lebih suka mengelirukan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Syahmie Armand begitu yakin mendakwa Muda ‘pilih bulu’ apabila bersuara lantang hanya mengenai Umno kerana parti itu memang melakukan hal yang sama.
Katanya apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman – yang menjadi pemimpin tertinggi Muda ketika itu – didakwa di mahkamah, parti berkenaan tidak menyalahkan “tangan ghaib” atau menggunakan peguam untuk mengugut orang yang mengkritik.
Sebaliknya, kata Syahmie, Muda menghadapinya pertuduhan tersebut di mahkamah terbuka sehingga akhir.
“Jadi Armand, sebelum anda menuduh seseorang pilih bulu, sila lihat cermin dulu.
“Jangan cabar integriti orang lain apabila anda sendiri tidak memahami perbezaan antara prinsip dan persepsi.
“Kami tidak minta banyak, sekadar mahu sistem keadilan tidak tunduk kepada orang yang berkuasa,” katanya.
Sebelum ini Setiausaha Agung Muda Ainie Haziqah Shafii, menerima surat tuntutan daripada peguam Ahmad Zahid susulan ucapannya pada himpunan Turun Anwar yang menyentuh tuduhan rasuah ke atas timbalan perdana menteri terbabit.
Muda menyifatkan tindakan Ahmad Zahid sebagai “intimidasi politik untuk menutup suara anak muda dan rakyat yang menuntut keadilan serta ketelusan” berhubung statusnya yang diberikan lepas tanpa bebas (DNAA) pada Sept 2023.
Kata Syahmie, antara tanda seseorang atau pihak itu sudah kehabisan hujah ialah mereka mengeluarkan surat saman.
Pada masa sama dia mengulangi tuntutan Muda agar Ahmad Zahid didakwa semula atas pertuduhan rasuah, selain menuntut kerajaan memisahkan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya, serta menjelaskan permohonan DNAA di parlimen secara mandatori.